*SALAH seorang petugas di Stadium Darul Makmur, Kuantan menunjukkan pintu ke bilik persalinan pemain yang turut dirosakkan oleh penyokong-penyokong fanatik Pahang malam kelmarin. - UTUSAN/Mahathir Ali |
Perkara itu telah dijelaskan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin yang berkata, segala kekecohan serta kehadiran penyokong melebihi kapasiti pasti tidak akan berlaku sehingga perlawanan terpaksa ditangguh.
''Berdasarkan laporan yang diperolehi daripada pegawai perlawanan bahawa empat pintu telah dipecahkan iaitu pintu 7, 5, 11 dan 14 yang menyebabkan ramai antara mereka tidak memperolehi tiket berjaya memasuki stadium sehingga membuatkan stadium melimpah dengan kehadiran penonton sehingga di atas trek.
''Tiada unsur provokasi mengapa pintu pagar ini dipecah sebaliknya semua gara-gara jumlah tiket sebanyak 1,100 bagi kerusi grandstand dan 30,220 untuk tempat duduk biasa telah habis dijual pada waktu tengah hari lagi, mereka hanya kecewa tidak mendapat tiket.
''Jika pintu pagar itu tidak dipecahkan, saya rasa perkara ini tidak mungkin terjadi dan perlawanan pada malam semalam mungkin dapat dimainkan seperti biasa, " katanya pada sidang akhbar di Wisma FAM, semalam.
Pada perlawanan semalam, Stadium Darul Makmur hanya boleh memuatkan kehadiran maksimum seramai 40,000 orang dikejutkan dengan jumlah penonton yang terlalu ramai sehingga menyebabkan permainan terpaksa tidak dapat dimulakan sebelum pesuruhjaya perlawanan, Datuk Ahmad Fuad Daud membuat keputusan membatalkan perlawanan.
Keputusan tidak meneruskan perlawanan itu telah mengundang rusuhan antara penyokong Pahang dan Johor Darul Takzim sehingga menyebabkan ada penonton yang hadir mengalami kecederaan di samping kerosakan beberapa kenderaan yang membawa pemain serta penyokong Johor DT.
Tambah Hamidin, penguatkuasa keselamatan termasuk pihak polis telah sedaya upaya memastikan keselamatan di tahap maksimum dengan penempatan sebanyak 2,000 orang di dalam stadium dan 320 Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).
''Pihak tuan rumah telah memastikan kawalan keselamatan berada di tahap sepatutnya namun apabila terjadi kehadiran penonton yang luar biasa, inilah yang terjadi.
''Cuma saya berasa lega sedikit kerana tiada sebarang pergaduhan berlaku di luar stadium membabitkan antara kedua-dua penyokong.
''Kejadian ini boleh anggap pertama kali berlaku dan saya harap semua pihak perlu mengambil iktibar supaya tidak terjadi lagi walaupun bagi saya ada baiknya bagi perkembangan bola sepak tempatan kerana para penyokong kita kembali ghairah untuk hadir ke stadium," katanya.
Mengenai aksi separuh akhir kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini, Hamidin berkata, harga tiket adalah sebanyak RM15, namun mereka belum membuat keputusan mengenai pembahagian tiket antara kedua-dua pasukan.
''Buat masa ini kami belum memutuskan berapa banyak tiket yang akan dijual dan akan mendapat maklum balas daripada kedua-dua persatuan bola sepak negeri terlebih dahulu.
''Kita bersedia menjual peruntukkan tiket maksimum sebanyak 90,000 jika ada permintaan tetapi buat masa ini belum ada kata putus mengenai berapa peruntukan yang akan diberikan," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment