My Add

Sunday, 30 June 2013

Kaji semula beri RM500 kepada ahli RISDA

BALING, SAABTU, 29 Jun, 2013: Pemberian RM500 kepada ahli Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) akan dikaji semula agar pemberian tersebut memanfaatkan golongan yang menoreh getah.

Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, ini kerana pemberian hanya diterima oleh tuan punya pekebun RISDA tersebut sedangkan penoreh bertungkus-lumus bekerja di ladang tidak mendapat manfaatnya.

“Keadaan tersebut menyebabkan penoreh getah yang miskin semakin berada dalam kesempitan hidup memandangkan harga komuniti itu sekarang hanya di sekitar RM2.50 sekilogram sahaja.

“Bagaimana penoreh getah hendak hidup jika harga getah terlalu murah dan mereka perlu mengagihkan hasil torehan itu kepada pemilik kebun getah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Abdul Azeez, usaha sedang dilakukan bersama RISDA untuk mencari kaedah dan penyelesaian terhadap harga getah tidak tetap kerana amat menyusahkan rakyat berpendapatan rendah yang bergantung kepada hasil jualan komuniti tersebut.

“Perbincangan akan dilakukan bersama RISDA untuk mengkaji semula harga getah di pasaran bagi mengekalkannya pada satu tahap harga terbaik demi membela nasib penoreh getah terutama di daerah ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Azeez memberitahu, seramai 5,000 pelajar terutama daripada golongan miskin dan luar bandar akan dapat menyambung pengajian mereka di institusi pengajian tinggi awam (IPTA).

Katanya, ini berikutan sebuah lagi Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan dibina tidak lama lagi di sini sebagai menunaikan janji kerajaan dalam pilihan raya lalu.

“Kerajaan telah mengenal pasti lokasi dan keputusan dibuat untuk membina sebuah IPTA di daerah ini, khasnya untuk pelajar luar bandar dan miskin.

“Setiap Dewan Undang Negeri (DUN) di Parlimen Baling akan mendapat projek pembinaan mega tersebut mengikut spesifikasi yang dikenal pasti dan bakal diumumkan sedikit masa nanti," katanya.

Abdul Azeez memberitahu, penduduk di persekitaran tiga DUN di sini akan mendapat manfaat sosioekonomi hasil pembinaan prasarana tersebut.

“Rakyat dapat menjana pendapatan hasil pembangunan tersebut dan kerajaan berhasrat mengeluarkan taraf kemiskinan di Baling menjadi sifar," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment