My Add

Saturday 29 June 2013

Semak status laporan polis mulai September

Oleh NORAZRIN MARZUKI

KUALA LUMPUR, SABTU, 29 Jun, 2013: Bermula September depan, orang ramai yang membuat laporan polis boleh mendapatkan perkembangan status siasatan kes yang dilaporkan itu menerusi sistem dalam talian laman web Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sistem status siasatan kes itu merupakan kesinambungan projek laporan polis secara dalam talian melalui portal laporan PDRM bagi membolehkan pengadu mengetahui perkembangan siasatan laporannya.

Pengerusi Urus Setia Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) PDRM, Datuk Ayub Yaakob berkata, penelitian dan kajian terperinci masih dijalankan pihak yang terlibat sebelum perlaksanaan sistem tersebut yang dijangka bermula September depan.

"Polis akan memberi kata laluan kepada pengadu bagi membolehkan mereka mengakses status siasatan mengenai laporan masing-masing.

"Bagaimanapun, pada peringkat awal percubaan, sistem itu akan terlebih dahulu dibangunkan di Lembah Klang dan Negeri Sembilan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesedaran Penipuan Pelaburan Perniagaan di Wisma Bernama hari ini.

Tambah beliau, sistem baharu yang akan dibangunkan itu mendapat kerjasama bersama Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment