My Add

Saturday 29 June 2013

PT Minamas minta adakan dialog atasi jerebu

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 28 Jun, 2013; Sime Darby Bhd. (Sime Darby) melalui anak syarikat miliknya, PT Minamas Gemilang menyeru semua pihak berkepentingan mengadakan dialog konstruktif bagi mencari penyelesaian masalah jerebu yang melanda rantau ini akibat daripada pembakaran di Wilayah Riau, Sumatera di Indonesia.

Pengarah Urusan Sime Darby Plantation, Datuk Franki Anthony Dass berkata, langkah tersebut amat perlu dalam usaha menangani isu semasa itu secara proaktif yang dilihat masih berterusan.

"Sudah tiba masanya untuk semua pihak berkepentingan bekerja bersama-sama mencari jalan penyelesaian terhadap masalah jerebu, malah penglibatan kedua-dua negara amat penting dalam menjaga alam sekitar dan kesihatan penduduk.

"Pihak kami pula akan membantu dan mengambil bahagian dalam mana-mana perbincangan berkenaan perkara ini. Kami juga berharap semua pihak antaranya masyarakat tempatan, ahli akademik dan syarikat-syarikat lain yang beroperasi di kawasan terjejas tampil menawarkan bantuan teknikal dan sokongan kepada kerajaan Indonesia bagi mengkaji isu dan punca masalah itu," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, antara isu lain yang perlu ditangani termasuk tanggungjawab pihak-pihak berkepentingan yang berbeza, kerjasama pelbagai kumpulan berkepentingan bagi mencegah kejadian jerebu pada masa depan.

"Selain itu, isu undang-undang yang berkaitan dengan penggunaan dan pendudukan tanah serta amalan pengurusan pertanian terbaik juga perlu diambil kira," katanya.

Dalam pada itu, Franki berkata, sebanyak lima kawasan titik panas telah ditemui dalam kawasan konsesi Bhumireksa Nusa Sejati (PT BNS), sebuah syarikat yang dimiliki oleh PT Minamas dari 11 Jun hingga 19 Jun lalu.

Bagaimanapun, katanya, pemeriksaan pasukan penilaian data satelit dan di tempat kejadian mendapati kebakaran tidak berada dalam kawasan tanaman syarikat berkenaan.

Menurutnya, melalui peraturan-peraturan semasa dan konvensyen yang berkaitan dengan masyarakat tempatan dan pemeliharaan kaedah pertanian tradisional, pemegang konsesi tidak dapat mengawal atau mempengaruhi amalan dan aktiviti masyarakat berkenaan.

"Sehubungan itu, PT Minamas juga telah menjalankan program-program kesedaran mengenai kesan negatif dan aktiviti pembakaran masyarakat tempatan di kawasan tanah gambut yang bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan syarikat perladangan yang lain dan pihak berkuasa tempatan," katanya.

Kata Franki, pihaknya akan membawa pakar-pakar dalam amalan pertanian terbaik yang disokong oleh penyelidikan dan pembangunan yang canggih, pengurusan tanah bagi kedua-dua tanah gambut dan bukan tanah gambut. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment