My Add

Sunday, 30 June 2013

Wasatiyyah penting dalam masyarakat majmu

 * SULTAN Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan beramah mesra dengan para peserta ketika berangkat ke Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-55 tahun bersamaan 1434H di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), malam tadi. Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Sebanyak 49 negara menyertai tilawah dengan penyertaan 80 qari dan qariah. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR, SABTU, 29 Jun, 2013: Timbalan Yang Dipertuan Agong, Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V bertitah, konsep wasatiyyah sangat penting diterapkan jika kerajaan mahu mewujudkan keseimbangan dari segi membina perpaduan yang lebih harmoni dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa, agama, resam dan budaya.

Titah baginda, konsep itu mewujudkan pendekatan yang tidak bersifat keterlaluan atau melampau dan dalam masa sama tidak pula terlalu longgar atau mengambil ringan sesuatu perkara.

Baginda bertitah, konsep tersebut merupakan satu pendekatan yang perlu dilaksanakan secara berterusan dalam dasar-dasar kerajaan sedia ada dan kehidupan seharian.

"Beta yakin terhadap komitmen kerajaan dalam mengaplikasi konsep wasatiyyah menerusi segenap lapis pengurusan dan pentadbirannya," titah baginda ketika merasmikan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-55 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah; Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob; Yang Dipertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Sultan Muhammad V bertitah, pendekatan wasatiyyah yang dijelaskan di dalam al-Quran perlu diterapkan dalam pembentukan generasi Islam, seterusnya menjadikan mereka sebagai idola kepada masyarakat dunia.

Titah baginda, Rasulullah SAW sendiri memulakan pembangunan generasi awal Islam sebagai contoh ummatan wasatan dengan menegakkan iman, amal soleh dan akhlak yang mulia, bersumberkan ilmu daripada Allah SWT.

"Ummah wasatiyyah diertikan sebagai umat yang adil, terbaik dan seimbang. Maka, umat Islam sentiasa dituntut agar melaksanakan sesuatu perkara dengan penghasilan paling baik berpandukan al-Quran dan as-Sunnah," titah baginda.

Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa tahun ini berlangsung mulai malam ini hingga 6 Julai ini dengan memilih tema Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah.

Sebanyak 72 peserta mewakili 42 negara menyertai majlis tilawah tersebut dan Malaysia diwakili qari, Anuar Hasin serta qariah, Hanimzah Jalaluddin. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment