* ZAMBRY Abd. Kadir mengucapkan tahniah kepada S.K. Devamany sambil diperhatikan oleh Nasarudin Hashim (kanan) di Dewan Undangan Negeri Perak, Ipoh, semalam. |
Seawal lima minit pertama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Canning, Wong Kah Woh daripada DAP sudah bangkit mencelah ketika Setiausaha Dewan Negeri, Rumaizi Baharin baharu hendak memulakan proses pemilihan Speaker dan Timbalan Speaker DUN.
Kah Woh menimbulkan dakwaan kononnya BN tidak menghantar nama calon Speaker DUN dalam tempoh yang ditetapkan iaitu pada 7 Jun lalu.
Rumaizi bagaimanapun menjelaskan, nama calon BN sudah dihantar pada pukul 11 pagi hari tersebut, iaitu kira-kira setengah jam sebelum pembangkang berbuat demikian.
"Namun, ketika beberapa wakil pembangkang datang kepada saya dan meminta nama calon BN didedahkan, saya tidak boleh beri kerana saya memelihara kerahsiaan seperti diamanahkan Pemangku Raja Perak, Raja Nazrin Shah sehinggalah pemilihan dibuat hari ini," kata Rumaizi.
Walaupun beberapa kali dijelaskan, Kah Woh tidak berpuas hati sebelum beberapa pemimpin pembangkang lain termasuk Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin (Pas-Changkat Jering) dan Datuk Ngeh Koo Ham (DAP-Sitiawan) turut bangkit mempersoalkan penjelasan Rumaizi.
Mohammad Nizar dan Koo Ham kemudiannya meminta Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (BN-Pangkor) sendiri tampil memberi penjelasan.
"Kita hanya minta penjelasan, apa salahnya Pangkor bangun dan jelaskan," ujar Koo Ham.
Keadaan itu menyebabkan beberapa ADUN BN termasuk Datuk Mohamad Zahir Khalid (BN-Kamunting) dan Datuk Shaarani Mohamad (BN-Kota Tampan) bangkit mempersoalkan tindakan pembangkang yang didakwa bersikap kebudak-budakan dan cuba mengganggu proses pemilihan Speaker.
"Anda meminta penjelasan, jadi Setiausaha dewan pun sudah jelaskan. Beliau sudah bagi panjang lebar, hendak penjelasan apa lagi. Ini semua buang masa, kita minta pemilihan Speaker diteruskan," tegas Saarani.
Barisan wakil rakyat pembangkang akhirnya akur dan memberi laluan kepada proses pemilihan jawatan berkenaan yang memihak kepada calon BN, Datuk S.K Devamany yang menewaskan calon pembangkang, V. Sivakumar. ADUN Bota, Nasarudin Hashim pula dilantik sebagai Timbalan Speaker.
Persidangan tersebut adalah yang pertama selepas Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang menyaksikan BN menguasai 31 kerusi DUN berbanding 28 oleh pembangkang - UTUSAN
No comments:
Post a Comment