My Add

Sunday 30 June 2013

Pengabdian suci perajurit muda

TELOK KEMANG, SABTU, 29 Jun, 2013: Perajurit muda diingatkan bahawa pemilihan mereka dalam perkhidmatan ketenteraan merupakan satu pengabdian suci kepada negara, bangsa dan agama.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Mohamed Noor berkata, berikutan itu, perajurit perlu faham bahawa penglibatan mereka juga memerlukan pengorbanan, keikhlasan dan tanggungjawab jitu.

''Bertunjangkan itu, saya mahu perajurit muda menjadi modal insan yang mantap dari segi fizikal, mental, spiritual dan intelektual, sekali gus pewaris generasi akan datang," katanya.

Raja Mohamed Affandi berkata demikian dalam ucapan sempena perbarisan tamat latihan perajurit muda lelaki dan wanita di Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) di Port Dickson hari ini.

Kata beliau lagi, menjadi harapan pasukan ini untuk menjadikan perajurit muda sebagai warga tentera darat yang berkualiti.

''Secara tidak langsung, ini membolehkan perajurit muda berfungsi sebagai unit kecil yang menyumbang kepada memartabatkan profesion tentera yang sentiasa diyakini rakyat," tegas beliau lagi.

Kata Raja Mohamed Affandi, oleh kerana Pusasda merupakan tempat lahirnya pahlawan, maka hendaklah latihan perajurit muda ini dijadikan asas membentuk dan menerapkan sifat ketenteraan, disiplin serta bersemangat tinggi dalam kalangan mereka.

''Saya mengingatkan semua perajurit agar sentiasa menjaga nama baik pasukan tentera darat dengan mempamerkan tahap profesionalisme dan akhlak yang tinggi serta meletakkan kepentingan perkhidmatan mengatasi kepentingan sendiri," tegas beliau.

Pada masa sama, beliau mengingatkan perajurit supaya menjunjung tinggi sumpah Ikrar Kesatriaan, di samping meningkatkan nilai spiritual dan pegangan agama.

''Saya meletakkan harapan tinggi kepada warga baharu tentera darat ini agar terlatih dan serba boleh dalam melaksanakan misi dalam pelbagai persekitaran," ujar beliau.

Pada majlis tamat latihan itu, sebanyak 1,770 perajurit muda yang terdiri daripada 1,584 lelaki dan 286 wanita berjaya menamatkan latihan selama beberapa bulan di sini. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment