My Add

Saturday 29 June 2013

Raja Dr. Nazrin Shah umum dua penerima Geran Anugerah Merdeka

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 28 Jun, 2013: Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah hari ini mengumumkan dua penerima Geran Anugerah Merdeka terdiri daripada pakar sains muda yang menyerlah di negara ini bagi mengikuti program jangka pendek dalam bidang masing-masing dengan institusi antarabangsa terpilih.

Penerima geran itu ialah pakar bioperubatan yang juga Pengarah Yayasan Asas-Asas Perubatan di Sekolah Perubatan Universiti Perdana, Dr. V. Abhimanyu, 34.

Seorang lagi penerima ialah Pensyarah Kanan Jabatan Akuakultur, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Natrah Fatin Mohd. Ikhsan, 33.

Kedua-dua mereka menerima geran yang diwujudkan di bawah Amanah Anugerah Merdeka tajaan syarikat gergasi Petronas, ExxonMobil dan Shell itu daripada Raja Dr. Nazrin Shah dalam satu majlis yang diadakan di sini.

Yang turut hadir, Pengerusi Petronas, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Shamsul Azhar Abbas.

Raja Dr. Nazrin Shah yang merupakan Pengerusi Lembaga Amanah Anugerah Merdeka dalam ucapan baginda sebelum itu bertitah, geran itu diperkenalkan bagi menampilkan dan mengiktiraf golongan muda Malaysia yang cemerlang dalam pelbagai bidang.

Baginda bertitah, dengan adanya geran itu, mereka yang terpilih berpeluang bertemu dan bekerjasama dengan pakar-pakar serta institusi terulung di luar negara sekali gus dapat menyumbang perkara baik untuk negara.

"Ini adalah tahun pertama geran ini diperkenalkan dan kami menerima permohonan yang menggalakkan iaitu sebanyak 60 permohonan berkualiti tinggi diterima sepanjang ditawarkan sebelum ini.

"Daripada permohonan itu, hanya lima permohonan akhir dipersembahkan kepada Lembaga Amanah dan dua pemenang telah ditentukan," titah baginda.

Titah baginda, dua penerima geran itu mencerminkan semangat merdeka dalam hala tuju mereka ke arah menyumbangkan sesuatu yang terbaik bukan sahaja kepada negara malah komuniti global.

Sementara itu, Abhimanyu dan Natrah Fatin dalam sidang akhbar kemudian berkata, mereka begitu gembira kerana terpilih menerima geran berprestij berkenaan.

Kedua-dua mereka berkata, masa tiga bulan sepanjang program itu akan digunakan untuk mewujudkan jaringan lebih meluas dengan pakar dan institusi terkemuka dunia dalam bidang diceburi bagi manfaat kepada negara.

Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif Anugerah Merdeka, Joseph Edwin berkata, pihaknya akan menetapkan jumlah geran yang akan diserahkan kepada kedua-dua mereka selepas ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment