My Add

Saturday 29 June 2013

PDRM, SPRM pantau 'bookie'

Oleh ANGELINA SINYANG

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 28 Jun, 2013: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjalinkan kerjasama dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk memantau aktiviti menjual perlawanan serta rasuah semasa berlangsungnya perlawanan akhir kejohanan bola sepak Piala FA di Stadium Bukit Jalil di sini esok.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, pemantauan secara rapi dilakukan kerana menyedari perlawanan akhir membabitkan Johor Darul Takzim (JDT) dan Kelantan itu mendapat perhatian ramai peminat bola sepak.

Beliau berkata, keadaan tersebut dikhuatiri diambil kesempatan oleh 'bookie' untuk mengaut keuntungan melalui kegiatan perjudian bola sepak dengan menawarkan rasuah kepada pemain supaya menjual perlawanan.

"PDRM dan SPRM yang menjadi Ahli Jawatankuasa Tetap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akan memantau rapi sebarang kegiatan menjual perlawanan dan rasuah menjelang perlawanan akhir Piala FA antara Kelantan dan JDT esok.

"Setakat ini, pihak kami belum lagi menerima sebarang maklumat tentang kegiatan mengatur perlawanan atau rasuah namun sentiasa bersedia mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang dikesan melakukan aktiviti yang menyalahi undang-undang itu," katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau ditanya tentang persediaan pihak berkuasa untuk menangani masalah perjudian bola sepak menjelang perlawanan akhir membabitkan Kelantan dan JDT yang dijangka menarik perhatian kaki judi untuk bertaruh.

Menurut Abdul Jalil, PDRM memang memandang serius kegiatan 'bookie' dalam bola sepak dan pertemuan dengan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini turut membincangkan strategi yang berkesan untuk membendung masalah tersebut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh meminta penyokong pasukan yang hadir menyaksikan perlawanan di Stadium Bukit Jalil esok supaya mematuhi arahan keselamatan bagi mengelak berlaku kejadian yang tidak diingini.

Beliau berkata, pihaknya sudah bersedia dan mempunyai jumlah keanggotaan yang mencukupi untuk mengawal keselamatan bagi memastikan berlawanan berjalan lancar.

"Saya juga memberi amaran kepada penyokong yang datang supaya jangan membawa barang-barang dilarang masuk ke dalam stadium seperti senjata tajam yang boleh mendatangkan kecederaan, mercun dan bunga api," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment