My Add

Sunday 30 June 2013

Shisha boleh dikategorikan haram

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF

 * PELANGGAN di sebuah kedai makan di Kangar, Perlis, malam tadi asyik menghisap shisha walaupun Majlis Fatwa negeri itu mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha.
KUANTAN, SABTU, 29 Jun, 2013: Mufti Pahang, Datuk Abdul Rahman Othman berkata, shisha boleh dikategorikan sebagai haram kerana mendatangkan kemudaratan kepada individu sama seperti rokok dan cerut.

Walau bagaimanapun selari dengan langkah diambil oleh Perlis beliau berkata, keputusan sama ada mengharamkan shisha atau tidak akan dibincangkan secara khusus kelak.

“Satu mesyuarat akan diadakan untuk membincangkan hal tersebut. Namun menghisap shisha adalah haram kerana turut memberi kesan kepada pengguna," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding rokok.

Mufti Perlis, Datuk Dr. Juanda Jaya berkata, mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis kali ke-11/2013 pada 24 Jun lepas membuat keputusan itu dan surat akan dihantar kepada kerajaan negeri dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) berhubung perkara itu.

Beberapa bandar telah mengharamkan shisha iaitu Jeddah, Riyadh, Kaherah di Arab Saudi, Islamabad, Sind dan Lahore di Pakistan, Khartoum dan Rumbek di Sudan, Amman di Jordan dan semua tempat awam di Turki dan Kazakhstan.

Abdul Rahman berkata, dalam isu rokok, pihaknya telah mengeluarkan fatwa haram tetapi belum digazetkan ketika ini.

“Begitu juga dengan shisha. Apabila diputuskan haram dan digazetkan, terpulang kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan lanjut dalam melaksanakan penguatkuasaan itu nanti," katanya.

Sementara itu di PERAK, Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, kerajaan negeri akan menimbang kemungkinan untuk mengikut jejak Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha.

Menurutnya, selain mendapatkan maklumat daripada Jabatan Kesihatan, pihaknya akan meminta pandangan Jawatankuasa Fatwa negeri yang dipengerusikan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria.

‘‘Keputusan mengharamkan aktiviti menghisap dan menjual shisha akan diteliti terlebih dahulu dengan mengambil kira pendirian kita mengikut dua aspek iaitu agama dan kesihatan.

‘‘Selain mendapatkan maklumat daripada Jabatan Kesihatan, saya juga akan minta mufti (Harussani) mengeluarkan pandangan," katanya yang turut memegang portfolio hal ehwal agama Islam negeri.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit yang disempurnakan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah di sini hari ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment