Murid hidap kanser otak mahu jumpa Najib dan Tun Dr Mahathir
KUALA LUMPUR, AHAD, 30 Jun, 2013: Seorang murid berketurunan Siam yang menghidap penyakit ketumbuhan otak berhasrat menemui Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Senator Datuk Boon Som Inong berkata, Kongkiat Bun Song, 10, yang menjalani dua pembedahan untuk mengeluarkan ketumbuhan di dalam otaknya, percaya pertemuan dengan Najib dan Dr Mahathir dapat memberinya semangat untuk mengharungi penyakit yang dihidapinya.
"Sejak dikesan menghidap penyakit itu, Kongkiat tidak dapat meneruskan persekolahannya kerana menjalani rawatan radioterapi dan kemoterapi serta rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya setiap hari," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, Kongkiat, yang bercita-cita menjadi doktor, juga mahu segera kembali meneruskan pelajaran di sekolah di Subang Jaya.
Kongkiat yang juga anak kedua daripada tiga beradik itu adalah anak pasangan Bun Song I Wan, 37, yang bekerja sebagai pemandu lori dan Channa Isin, 34, seorang suri rumah dari Pendang, Kedah.
"Bun Song dan isterinya berasa resah sejak mengetahui keadaan kesihatan anak mereka serta memikirkan pendapatannya yang kecil tidak mampu untuk menanggung perbelanjaan rawatan anaknya yang tinggi," katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang ingin menghulur bantuan boleh menyalurkan ke akaun ibu kanak-kanak itu, Channa Isin, di CIMB Bank bernombor 12090030265525 atau menghubungi Bun Song di talian 012-2680592. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment