My Add

Saturday 29 June 2013

Malaysia jadi model lonjak ekonomi

Daripada Ramli Abd.Karim

* PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengaminkan doa sebelum berlepas ke Tanzania untuk mengetuai delegasi Malaysia dalam Dialog Perkongsian Pintar Global 2013 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam. - BERNAMA
DAR ES SALAAM, JUMAAT, 28 Jun, 2013: Selepas 18 tahun dilancarkan, Dialog Perkongsian Pintar Global telah berjaya membawa pelbagai pembaharuan kepada sistem pentadbiran, dasar-dasar dan peraturan kerajaan di negara-negara Afrika dengan kebanyakannya menjadikan Malaysia sebagai model untuk melonjakkan pembangunan ekonomi masing-masing.

Terbaru, melalui forum dialog anjuran Perkongsian Komanwel untuk Pengurusan Teknologi (CPTM) itu, negara-negara berhasrat secara serius untuk melaksanakan Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) seperti dilaksanakan di Malaysia yang mana pencapaian keseluruhan pentadbiran kerajaan, ekonomi dan sosioekonomi masyarakat adalah melalui Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Malah hampir semua negara di Afrika yang menyertai dialog itu sejak 1995, telah mencontohi Malaysia yang mempunyai gagasan Wawasan 2020 untuk mereka menetapkan wawasan negara masing-masing termasuk Botswana yang meletakkan sasaran pada tahun 2016, Mauritius (2020) dan Uganda (2035).

Pengerusi CPTM, Tan Sri Dr. Omar Abdul Rahman memberitahu, selepas menganjur 22 program dialog global itu secara berselang-seli di Malaysia dan negara-negara Afrika, pihaknya berpendapat ia telah mencapai matlamatnya untuk mendekatkan Malaysia dan benua Afrika, khususnya dari segi hubungan dua hala kerajaan dengan kerajaan.

Menurutnya, dengan menjadikan Malaysia sebagai model, negara-negara Afrika telah memulakan penambahbaikan kepada sistem pentadbiran dan pengurusan masing-masing serta menyesuaikan dasar-dasar fiskal serta perundangan bagi membolehkan ekonomi mereka dipacu selaras dengan wawasan yang telah ditetapkan.

“Negara-negara Afrika sangat menghargai peranan Malaysia dalam dialog ini sejak 1995. Banyak negara di benua ini yang telah mula melonggarkan dasar-dasarnya semata-mata kerana mahu melihat pembangunan yang lebih rancak.

“Malaysia juga akan meneruskan komitmen membantu negara-negara Afrika khususnya menerusi perkongsian pintar dalam dialog global ini dan kita yakin kerjasama serta hubungan baik yang terjalin ini akan membawa banyak manfaat kepada kedua-dua pihak," katanya kepada media Malaysia dalam sidang akhbarnya di sini hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), Datuk Dr. Wong Sai Lum.

Omar berkata, dialog global tersebut bukan forum untuk membuka dan mencari peluang-peluang pelaburan serta perniagaan semata-mata, sebaliknya ia lebih pendekatan lembut untuk membina hubungan baik, perkongsian pengalaman dan meningkatkan keyakinan dan kebolehpercayaan sesama negara terlibat melalui sesi-sesi perbincangan dan wacana.

Sehubungan itu, katanya, pencapaian dialog global itu tidak boleh diukur menerusi jumlah atau nilai pelaburan Malaysia di Afrika atau sebaliknya, tetapi perkongsian pintar antara negara terbabit dalam pelbagai bidang khususnya sains, teknologi dan inovasi (STI) merupakan sesuatu yang membuka ruang kepada kerjasama dalam pelbagai bidang yang lain.

“Dialog ini adalah elemen pendekatan lembut untuk menjalin hubungan, bukannya meletakkan harapan tinggi untuk meraih keuntungan segera dalam bidang pelaburan dan perniagaan.

“CPTM telah menyediakan forum ini sejak sekian lama, dan setelah 18 tahun kini tiba masanya yang paling tepat untuk para usahawan, pelabur dan ahli-ahli perniagaan Malaysia untuk secara serius meneroka peluang di Afrika," jelasnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment