My Add

Sunday 30 June 2013

Tiada pengecualian pelaksanaan gaji minimum selepas 1 Jan. 2014

 Richard Riot, Ismail Abdul MutTalib

KUALA LUMPUR, SABTU, 29 Jun, 2013: Kerajaan tidak akan mempertimbangkan lagi sebarang rayuan oleh majikan untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum selepas tempoh itu tamat pada 31 Disember ini.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata, sebarang permohonan rayuan untuk melanjutkan pelaksanaannya tidak sepatutnya dikemukakan kerana akan menyukarkan kerajaan mencapai status negara maju.

“Kita cuma ada tempoh kurang tujuh tahun lagi untuk menuju 2020. Kalau boleh kita mahu pekerja di negara ini memperoleh pendapatan seperti pekerja di negara maju lain.

“Lagipun, penetapan kadar gaji minimum sudah dipersetujui sebelum ini oleh Majlis Perundingan Gaji Negara yang dianggotai sendiri persatuan majikan dan kesatuan sekerja," katanya di Maran, hari ini.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot pula berkata, selepas 1 Januari tahun depan, kementeriannya tidak akan lagi memberi sebarang pengecualian kepada mana-mana syarikat yang dikehendaki membayar gaji minimum RM800 sebulan di Sarawak, Sabah serta Labuan dan RM900 di Semenanjung mengikut Perintah Gaji Minimum 2012 bagi sektor swasta.

Sebelum ini, katanya, pemilik hotel dan penyedia perkhidmatan keselamatan adalah antara 400 syarikat makro dengan enam atau lebih pekerja di seluruh negara diberi kelonggaran untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum sehingga 31 Disember tahun ini.

“Surat permohonan terkini (bagi penangguhan) yang diterima adalah dari sebuah syarikat perladangan di Sarawak yang akan dirujuk kepada Majlis Perundingan Gaji Negara untuk keputusan,“ katanya dalam laporan Bernama selepas melancarkan Pesta Birumuh 2013 dan program 1Malaysia Support For Housewives dan Azam Kerja peringkat negeri di Serian, hari ini.

Syarikat mikro dikategori sebagai mempunyai lima pekerja ke bawah.

Beliau berkata, pada masa ini terdapat kira-kira 12.8 juta pekerja di Malaysia termasuk 1.4 juta penjawat awam dan 1.5 juta pekerja asing.

“Bagaimanapun, tiada angka rasmi mengenai pekerja tanpa izin, namun berdasarkan anggaran bagi setiap seorang pekerja asing yang sah, terdapat sekurang-kurangnya seorang pekerja tanpa izin, menjadikan jumlah keseluruhan pekerja asing di negara ini adalah tiga juta orang," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment