My Add

Sunday, 30 June 2013

Peranan Mara diperkasa - Shafie Apdal

PARIT, SABTU, 29 Jun, 2013: Kerajaan komited untuk memperkasa peranan Majlis Amanah Rakyat (Mara) supaya entiti itu terus berupaya mendaulatkan kepentingan bumiputera terutama dalam bidang pendidikan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, sejarah membuktikan Mara telah memainkan peranan yang cukup besar dalam membantu meningkatkan kualiti pendidikan bumiputera khususnya di kawasan luar bandar.

Kata beliau, penubuhan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) misalnya bukan sahaja melahirkan ramai golongan teknokrat, tetapi juga generasi pemimpin seperti Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar.

‘‘Saya gembira kerana Mara mengorak banyak langkah bukan kerana mendaulatkan pendidikan dalam negara, tetapi juga di peringkat antarabangsa seperti yang dilakukan kolej Mara di Banting, Selangor dan Negeri Sembilan.

‘‘Selepas ini kita mahu pastikan lebih ramai pelajar kita yang selesai di peringkat menengah dan universiti diberi ruang melanjutkan pelajaran di universiti tersohor seperti Cambridge, Oxford, Harvard dan London School of Economics," katanya selepas majlis perasmian MRSM Parit hari ini.

Pemangku Sultan Perak, Raja Dr. Nazrin Shah berkenan merasmikan MRSM itu.

Keberangkatan baginda bersama Raja Puan Besar Perak, Tuanku Zara Salim turut diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir dan isteri, Datin Seri Saripah Zukiflie; Ahli Parlimen Parit, Datuk Zaim Abu Hasan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Bota, Datuk Nasarudin Hashim.

Mohd. Shafie berkata, selain bidang akademik, pihaknya juga mahu Mara meningkatkan keupayaan pelajarnya dalam bidang vokasional sekali gus membantu kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja mahir dari luar negara.

Dalam hubungan itu, Mohd. Shafie memberitahu, beliau telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapha Mohamed bagi membolehkan pelajar Mara diserap dalam bidang yang diperlukan pihak industri.

‘‘Kita boleh bekerjasama mewujudkan rangkaian untuk pastikan dalam masa tertentu, kita (Mara) boleh berperanan sebagai sumber tenaga kerja untuk memenuhi permintaan pasaran. Ini juga adalah antara perkara yang kita akan lakukan," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment