My Add

Sunday 30 June 2013

Asrama terbakar

Oleh ILAH HAFIZ AZIZ

KUALA LUMPUR, SABTU, 29 Jun, 2013: Sebanyak 85 anak yatim yang sedang mengikuti kelas agama di Rumah Bakti Datuk Harun di Hulu Klang dekat sini cemas selepas asrama pelajar lelaki itu yang terletak di tingkat tiga musnah dalam kebakaran malam tadi.

Kebakaran yang bermula pukul 9.45 malam itu memusnahkan keseluruhan tingkat tiga asrama berkenaan.

Bagaimanapun, kesemua 40 pelajar lelaki yang menetap di situ terselamat kerana ketika kejadian mereka sedang mengikuti kelas agama di tingkat satu bangunan tersebut.

Pengerusi rumah anak yatim itu, Datuk Mohd. Fahmi Ibrahim (gambar) memberitahu, kebakaran itu tidak disedari penghuni asrama berkenaan sebaliknya dilihat pekerja bengkel yang terletak bersebelahan rumah kebajikan itu.

“Saya dimaklumkan pekerja bengkel itu yang mula-mula nampak api di tingkat tiga dan bumbung asrama. Dia kemudian menjerit kerana bimbang pelajar asrama sedang tidur.

“Bagaimanapun jeritan itu tidak didengari pelajar menyebabkan pekerja terbabit bertindak memecah pagar asrama dan mengejutkan mereka. Ketika itu barulah anak-anak yatim menyedari bangunan itu terbakar dan segera menyelamatkan diri," katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, ketika kejadian seramai 85 anak yatim berusia antara tujuh hingga 16 tahun berada di dalam bangunan itu.

“Syukur Alhamdulillah, kesemua mereka tidak mengalami kecederaan cuma sebahagian daripada mereka tinggal sehelai sepinggang selepas semua barangan musnah," katanya.

Tambah Mohd. Fahmi, kesemua pelajar lelaki kini ditempatkan di asrama lama kerana bangunan itu tidak selamat diduduki sehingga pemeriksaan selesai dijalankan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor.

Rumah Bakti Datuk Harun Idris merupakan sebuah rumah kebajikan yang menempatkan anak-anak yatim di bawah kelolaan Pertubuhan Pendidikan Anak-anak Yatim Selangor.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, sebanyak 12 anggota dari balai Keramat dan Wangsa Maju dikejarkan ke lokasi kejadian dan berjaya mengawal kebakaran kira-kira pukul 11.15 malam.

“Kebakaran telah memusnahkan tiga buah bilik asrama namun 94 individu termasuk kakitangan yang berada di Rumah Bakti itu terselamat," kata beliau sambil memberitahu pihaknya masih menyiasat punca kebakaran itu. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment