My Add

Sunday 30 June 2013

Harga rumah: Formula baharu dicari

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

KOTA BELUD 29 Jun - Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mencari formula baharu bagi mengatasi masalah kenaikan harga rumah yang menjadi isu dan beban kepada rakyat negara ini, khususnya pembeli rumah.

Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, dalam mencari formula yang sesuai itu, pihaknya akan mengadakan bengkel khas bersama semua pihak terbabit seperti pemain industri, ahli akademik dan pertubuhan bukan kerajaan.

"Satu bengkel khusus tentang masalah kenaikan harga rumah pada Julai ini bakal diselaraskan oleh setiausaha kementerian bagi mencari formula terbaharu.

"Mudah-mudahan dapat dibentuk formula baharu untuk mencari jalan mengawal kenaikan harga rumah yang mendadak sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kita akan umumkan hasil daripada bengkel itu nanti," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian Program Khidmat Bakti Masyarakat 2013 di Sekolah Kebangsaan Kuala Abai, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Matrang Suhaili dan Pengarah Kastam negeri, Datuk Janathan Kandok.

Menurut Abdul Rahman, bengkel yang dijadualkan selama seminggu itu akan mengambil kira pendapat dan cadangan pelbagai pihak untuk diteliti.

Jelasnya, dalam mencapai keputusan dalam bengkel itu, pihaknya bukan hanya akan mendengar pendapat daripada pembeli rumah tetapi pemain industri dan pemaju perumahan.

"Kita akan mengambil pertimbangan yang betul supaya nilai harta pembeli rumah tidak terjejas. Selain itu, turut menawarkan harga munasabah kepada golongan pembeli rumah kali pertama," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, dakwaan bahawa pemilikan hartanah oleh warga asing menjadi faktor utama kenaikan harga rumah di negara ini adalah tidak benar dan hanya persepsi semata-mata.

Katanya, berdasarkan statistik, hanya 5.5 peratus hartanah di negara ini dimiliki oleh warga asing yang lebih tertumpu di kawasan tertentu seperti Johor Bahru yang terletak berhampiran negara jiran. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment