Murid derita ketumbuhan otak perlu bantuan rawatan susulan
SUNGAI PETANI, JUMAAT, 28 Jun, 2013: Seorang pemandu lori merayu bantuan orang ramai bagi meringankan penderitaan penyakit ketumbuhan otak yang ditanggung anaknya berusia 10 tahun untuk menjalani rawatan susulan.
Bun Song I Wan, 37, yang berasal dari Pendang dekat sini dan kini menetap di Subang Jaya, Selangor berkata, penyakit anaknya, Kongkiat, semakin kritikal dan terpaksa menjalani pembedahan membuang ketumbuhan otak di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) sebanyak dua kali.
Katanya, anak kedua daripada tiga beradik itu dikesan menghidap penyakit berkenaan pada April lalu dan kini perlu menjalani rawatan radioterapi dan kemoterapi di PPUM setiap hari.
Dia kini tidak dapat bersekolah kerana perlu berulang-alik dari rumah di Subang Jaya ke PPUM setiap hari untuk tujuan rawatan.
Saya pula hanya bekerja sebagai pemandu lori sementara isteri tidak bekerja. Kami sering resah memikirkan keadaan anak di samping tidak mampu menanggung kos rawatan yang tinggi," katanya kepada pemberita semasa dikunjungi Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Boon Som Inong, di sini, baru-baru ini.
Bun Song berkata, Kongkiat juga terpaksa menghabiskan masa di rumah kerana keadaan kesihatannya tidak mengizinkan untuk meneruskan pengajian darjah empat di Sekolah Kebangsaan Seafield, UEP Subang Jaya.
Sementara itu, Kongkiat berkata, walaupun keadaan kesihatannya lemah, namun dia tetap bersemangat untuk meneruskan kehidupan dan melawan penyakit itu.
Saya mempunyai satu impian untuk berjumpa dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Jika saya dapat berjumpa dengan kedua-dua pemimpin itu, saya akan rasa lebih kuat untuk berjuang menghadapi penyakit saya.
Saya juga mahu kembali ke sekolah seperti biasa bagi mencapai cita-cita saya untuk menjadi doktor," katanya.
Dalam pada itu, Boon Som berkata, beliau akan mencari jalan membantu meringankan beban keluarga berkenaan dan mengatur pertemuan dengan pemimpin terbabit agar hasrat Kongkiat tercapai.
Pada masa sama, beliau juga memohon bantuan orang ramai agar menghulurkan bantuan kepada keluarga terbabit.
Mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan ke akaun ibu kanak-kanak terbabit, Channa Isin, di CIMB Bank bernombor 1209-0030265-52-5 atau menghubungi Bun Song di talian 012-2680592. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment