My Add

Sunday 30 June 2013

Operasi Daulat kerjasama tertinggi ATM, PDRM

LAHAD DATU, SABTU, 29 Jun, 2013: Operasi Daulat yang diwujudkan khusus untuk memerangi pencerobohan kumpulan pengganas Kiram di Kampung Tanduo merupakan kerjasama tertinggi pernah diadakan antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), kata Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin.

Katanya, melalui kerjasama berkenaan, kedua-kedua pasukan keselamatan itu serta agensi lain bersama-sama menghadapi kumpulan penceroboh demi mempertahankan kedaulatan negara.

"Operasi Daulat yang telah kami laksanakan bersama, tidak pernah kami terbayang dan terfikir akan berlaku sehinggalah kedaulatan negara kita diceroboh pihak berkenaan.

"Hasil kerjasama kami yang erat melalui Strategi Lautan Biru maka kami dapat bekerjasama mempertahankan kedaulatan negara," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar bersama Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Sidang akhbar berkenaan yang turut dihadiri Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Mohammad Mentek, merupakan sidang akhbar pertama diadakan sempena pelancaran program komunikasi ATM dan PDRM, iaitu program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan bagi menyebarluaskan aktiviti pasukan keselamatan berkenaan kepada masyarakat.

Zulkifeli berkata, kerjasama kedua-dua agensi di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan berkenaan juga telah dikembangkan kepada rondaan bersama PDRM dan ATM bagi menangani kes jenayah jalanan serta latihan bersama yang dikendalikan secara bergilir-gilir.

Khalid pula berkata, kerjasama erat ATM dan PDRM menghadapi kumpulan penceroboh di Kampung Tanduo, merupakan satu model kerjasama masa depan kedua-dua agensi untuk menghadapi sebarang isu yang mengancam kedaulatan negara.

"Inilah model masa depan yang bakal kita ikuti dalam menangani ancaman dan masalah keselamatan negara kita," katanya.

Menurut Khalid, kerjasama PDRM dan ATM di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan tidak akan terhenti kepada usaha menghadapi ancaman kedaulatan negara malah melampaui konteks rondaan bersama menangani kes jenayah jalanan di bandar besar.

"Kita telah mengadakan rondaan bersama dan ini akan ditingkat dan diteruskan. Sekarang kita ada rondaan bersama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan akan dilanjutkan di lapangan terbang antarabangsa lain di seluruh negara," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment