My Add

Sunday 30 June 2013

Malaysia rugi RM1.9b setahun

Oleh ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN

KOTA BELUD, SABTU, 29 Jun, 2013: Aktiviti penyeludupan rokok yang berleluasa di negara ini menyebabkan kerajaan mengalami kerugian sebanyak RM1.9 bilion setahun daripada hasil cukai rokok yang gagal dikutip.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam, Datuk Matrang Suhaili berkata, penyeludupan rokok di negara ini amat kritikal di mana 36 peratus daripada rokok yang dijual di pasaran adalah rokok seludup.

"Di Sabah sahaja peratusan rokok kontraban (seludup) adalah lebih tinggi iaitu 81 peratus. Ini bermakna daripada 10 peket rokok yang dijual di pasaran Sabah, lapan daripadanya merupakan rokok seludup," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Khidmat Bakti Masyarakat 2013 di Sekolah Kebangsaan Kuala Abai hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan dan Pengarah Kastam negeri, Datuk Janathan Kandok.

Menurut Matrang, setiap tahun Kastam secara purata menyumbangkan kira-kira RM32.3 bilion kutipan hasil kepada kerajaan.

Daripada jumlah itu katanya, Kastam mengutip sebanyak RM3.5 bilion cukai ke atas rokok yang menyaksikan 11 peratus kepada kutipan hasil kastam setiap tahun.

Dalam pada itu, beliau berkata, Jabatan Kastam sentiasa mengambil tindakan serius dan agresif bagi menangani gejala penyeludupan rokok di seluruh negara.

Katanya, kebanyakan penyeludupan rokok masuk melalui perairan dan sempadan negara seperti sempadan Johor-Singapura dan Malaysia-Thailand.

"Selain itu ada juga rokok yang diseludup masuk melalui pelabuhan yang didaftarkan dengan barangan lain.

"Masalah yang kita hadapi, kita tidak dapat memeriksa semua kontena yang masuk. Setiap hari di Pelabuhan Klang sahaja, sebanyak 6,000 kontena melalui pelabuhan itu, belum lagi di lain-lain pelabuhan," katanya.

Beliau berharap masyarakat akan terus memberi kerjasama kepada kastam bagi membanteras aktiviti penyeludupan dengan menyalurkan maklumat kepada pihak kastam. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment