Tekong harap bantuan PM dibebas sebelum puasa
PONTIAN, JUMAAT, 28 Jun, 2013: "Saya sangat berharap kerajaan dapat membantu membebaskan saya seberapa segera. Isteri saya sedang hamil anak sulung kami, Ramadan semakin hampir dan selepas itu Syawal akan menjelma... kalau boleh saya tidak mahu meringkuk dalam penjara di sini.
"Di sini saya orang asing, sebarang kes penganiayaan terhadap rakyat Indonesia yang berlaku di Malaysia seolah-olah saya dipersalahkan sedangkan saya tiada kaitan," demikian rintihan Mohd. Salleh Rahman, 29, kepada Utusan Malaysia melalui panggilan telefon di kediaman keluarganya di Lorong Taat, Jalan Parit Masjid di sini semalam.
Mesra disapa Apet, tekong bot yang ditahan atas dakwaan menangkap ikan di perairan Indonesia dan kini ditahan di Penjara Tanjung Pinang itu meluahkan kemungkinan menjalani ibadah puasa di pusat tahanan negara itu selain belum mendapat kepastian mengenai perkembangan dan tarikh sebenar perbicaraan kesnya.
Empat rakannya dibebaskan kelmarin namun dia kemungkinan akan dibicarakan bulan depan dengan seorang lagi nelayan yang masih ditahan di Batam, Ahmad Nadzhan Mohd. Nadzri, 18, yang bakal menjadi saksi dalam kes tersebut.
Menurut Mohd. Salleh, walaupun dilanda kebimbangan setiap hari, dia optimis Perdana Menteri sedang mengusahakan pembebasannya dari dihukum penjara selama beberapa tahun berdasarkan Perjanjian Bali yang ditandatangani bersama Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudoyono pada 27 Januari 2012.
Adiknya, Mohd. Suria, 18, kelihatan masih trauma dengan kejadian yang menimpa mereka berenam sejak ditahan oleh pihak berkuasa Perikanan dan Kelautan Indonesia di Batam pada 22 Mei lalu namun berharap abangnya berada dalam keadaan yang baik.
"Kali terakhir bertemu abang ialah selepas dua minggu pertama ditahan dan dia berpesan supaya saya menjaga diri baik-baik. Sekarang saya tidak memikirkan untuk ke laut, tunggulah, mungkin selepas raya tetapi dalam masa terdekat ini, saya mahu membuat pasport supaya boleh mengikut abah melawat abang sebelum bulan puasa," katanya.
Pemilik bot yang juga bapa kepada dua beradik berkenaan, Rahman Yusof, 65, turut berharap agar kerajaan dapat mengusahakan pembebasan anak ketiganya itu dan Ahmad Nadzhan.
Rahman percaya anaknya tidak akan ditahan lama kerana yakin memorandum persefahaman (MoU) Garis Panduan Bersama Tentang Pelayanan Terhadap Nelayan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Indonesia menyatakan tiada tangkapan akan dilakukan selain meminta nelayan berpatah balik jika memasuki kawasan maritim yang belum dimuktamadkan persempadanannya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment