My Add

Sunday 30 June 2013

Kepimpinan perlu kukuh untuk membangun

DAR ES SALAAM, SABTU, 29 Jun, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, kekuatan kepimpinan politik adalah salah satu faktor penting yang bakal menentukan kejayaan pelan pembangunan di negara-negara Afrika dan transformasi sosioekonomi yang sedang dirancang dan dilaksanakan.

Menurutnya, tanpa kepimpinan politik yang mempunyai wawasan untuk membangunkan negara, maka sebarang perubahan yang ingin dilakukan di negara terlibat akan menjadi sukar walaupun sudah bersedia dari segi adaptasi teknologi, modal insan dan kewangan.

Bercakap kepada media Malaysia dalam sidang akhbarnya selepas menyertai sesi dialog utama pada Dialog Perkongsian Pintar Global 2013 (Global 2013 bertajuk Memanfaatkan Teknologi untuk Pertumbuhan Perkongsian Pintar dalam Pengukuhan Transformasi Sosioekonomi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Nyerere di sini hari ini, beliau berkata:

"Dalam dialog pagi ini, saya telah nyatakan (kepada ketua-ketua kerajaan dan negara Afrika) bahawa Malaysia akan terus berkongsi pengalaman membangunkan negara mereka tetapi setiap negara perlu tentukan kaedah masing-masing yang sesuai. Tidak ada satu formula yang boleh diguna pakai untuk semua negara, ia perlu ambil kita keadaan setempat dan faktor lain.

"Dan paling penting bagi membolehkan segala faktor lain dimanfaatkan, ialah soal kepimpinan negara atau kepimpinan politik. Kalau tiada pemimpin politik yang mempunyai wawasan, maka faktor lain tidak boleh dimanfaatkan."

Turut hadir dalam sidang akhbar itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Menurut Najib, dalam mengaplikasi dan memanfaatkan sains, teknologi dan inovasi (STI), setiap negara di Afrika perlu mempunyai dasar STI yang jelas kerana itu amat penting untuk menentukan hala tuju bagaimana STI boleh digunakan dan dikembangkan bagi mencapai matlamat pembangunan sesebuah negara.

Selain itu, kata beliau, negara-negara peserta Global 2013 juga telah melihat betapa perlunya beberapa aspek lain diberi penekanan termasuk pembangunan teknologi pembuktian (evidence technology) dan teknologi teoritikal (theoretical technology) bagi memastikan setiap keputusan akan menjadi lebih tepat.

"Penekanan kepada "evidence technology" dan "theoretical technology" ini penting kerana daripadanya kita memanfaatkan teknologi untuk mendapatkan maklumat yang terperinci.

"Maknanya, sebelum sesuatu dasar diputuskan (oleh kerajaan), ia mesti diasaskan kepada "evidence technology" dan "theoretical technology" supaya keputusan dan dasar yang dibuat adalah tepat," katanya.

Tambah Perdana Menteri, pelan pembangunan dan pelaksanaannya juga tidak boleh melupakan faktor modal insan dan modal kewangan bagi membolehkan sebarang perancangan adalah mengikut kemampuan kerajaan dan keperluan di negara masing-masing.

Beliau menjelaskan, dalam konteks benua Afrika, negara-negara terbabit pada masa ini masih mengeksport bahan-bahan mentah atau mendapat pendapatan daripada sumber-sumber yang tidak diterjemahkan kepada nilai tambah.

"Sebab itulah mereka tidak memperoleh pendapatan yang setimpal daripada sumber yang ada di Afrika sedangkan benua ini disebut kaya dengan sumber, tetapi ia tidak dapat diterjemahkan kepada kekayaan atau pendapatan yang lebih besar kepada mereka." katanya.

Sementara itu, terdahulu, Najib mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Presiden Sri Lanka, Mahindra Rajapaksa yang turut menghadiri dan menyertai Global 2013.

Ditanya mengenai pertemuan itu, Perdana Menteri memberitahu, Rajapaksa telah menjemput beliau secara rasmi untuk menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGAM) di Colombo dari 15 hingga 17 November ini.

"Presiden Rajapaksa juga menyatakan penghargaannya kepada Malaysia terutama dari segi penglibatan para pelabur kita di Sri Lanka. Beliau berharap lebih banyak pelaburan dari Malaysia di negara itu," katanya. - MINGGUAN 

No comments:

Post a Comment