My Add

Sunday 30 June 2013

Malaysia tersohor di Afrika

* NAJIB Tun Razak dan Jakaya Mrisho Kikwete berbincang ketika menghadiri Dialog Perkongsian Bestari Global di Julius Nyerere International Convention Centre di Dar Es Salaam, Tanzania, semalam. Dialog empat hari itu bertemakan Memanfaatkan Teknologi Bagi Transformasi Sosioekonomi Afrika. - BERNAMA
DAR ES SALAAM, SABTU, 29 Jun, 2013: Inisiatif Malaysia mencetuskan penganjuran Dialog Perkongsian Pintar Global yang dimulakan dengan Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) pada 1995 telah menjadikan nama negara sangat dikenali di negara-negara Afrika, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut beliau, selepas dicetuskan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sejak 18 tahun lalu, Malaysia telah berperanan sebagai penggerak utama kelangsungan penganjuran dialog tersebut dan berikutan itu, negara sentiasa dijadikan model dan penanda aras oleh negara-negara Afrika.

Tambah Perdana Menteri, dari segi manfaat secara tidak langsung daripada usaha menggerakkan dialog perkongsian pintar ini, Malaysia mempunyai jalinan hubungan dan rangkaian yang sangat baik dengan negara-negara Afrika termasuk sentiasa mendapat sokongan politik dalam banyak hal yang dibangkitkan dalam persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa bersatu (PBB).

"Barangkali hubungan Malaysia dengan negara-negara Afrika jauh lebih baik daripada kebanyakan negara lain. Nama Malaysia sekarang ini begitu dikenali dan sangat tersohor (di Afrika). Dari situ kita boleh buka ruang kepada syarikat Malaysia untuk mendapat peluang di Afrika.

"Ada di beberapa negara, mereka (pelabur Malaysia) telah berjaya tanpa kita ketahui. Misalnya di Uganda, sebuah syarikat kita telah membuka perniagaan perabot bernilai jutaan dolar Amerika iaitu mengeksport perabot Malaysia ke Uganda. Sebelum ini, Petronas telah memulakan pelaburan di Sudan, itu juga manfaat daripada dialog ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan Malaysia dalam sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden Sri Lanka, Mahindra Rajapaksa di Pusat Konvensyen Antarabangsa Nyerere, tempat berlangsungnya Dialog Perkongsian Pintar Global (Global 2013) di sini hari ini. Yang turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Menurut Najib, yang terbaharu, hasil dariapda penganjuran dialog perkongsian pintar itu, negara-negara Afrika kini cukup berminat dengan agenda transformasi Malaysia selepas mereka mendengar taklimat Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) dan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) oleh Idris semasa dialog sama di Putrajaya pada 2011.

"Mereka (negara-negara Afrika) sangat tertarik dengan Wawasan 2020, konsep transformasi dan kewujudan PEMANDU (Unit Pengurusan Prestasi dan Perlaksanaan).

"Tanzania sendiri misalnya telah menjemput Idris sebanyak empat kali ke Dar Es Salam untuk menerangkan apa yang telah kita rancang termasuk memberi penjelasan dalam mesyuarat menteri-menteri Kabinet mereka. Kini mereka cukup minat melaksanakannya dan menjadikan Malaysia sebagai model, bukan negara Barat. Negara lain pun minat termasuk Botswana," katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri meminta bakal pelabur Malaysia yang berhasrat menjalankan perniagaan atau menanam modal pelaburan di Afrika supaya lebih memahami situasi tempatan dan melakukan penyelidikan mengenai kawasan mana yang sesuai untuk diterokai sebelum mula melabur.

"Dari segi penerimaan kerajaan mereka di sini sudah ada, dari situ sudah ada peluang. Jadi, bakal pelabur harus belajar daripada beberapa orang atau syarikat Malaysia yang telah berjaya di Afrika," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment