My Add

Sunday, 30 June 2013

MODENAS sasar jual 7,000 unit model 118EFI setiap bulan

GEORGETOWN, AHAD, 30 Jun, 2013: Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) menyasarkan untuk memperolehi anggaran purata jualan keseluruhan bagi motosikal varian terkini CT iaitu MODENAS 118EFI sebanyak 7,000 unit setiap bulan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Halim Ismail, berkata sasaran itu diyakini dapat memperbaiki penguasaan pasaran ke tahap 15 peratus pada akhir tahun kewangan 2013/2014.

"Memiliki motosikal adalah salah satu pelaburan yang penting untuk kegunaan seharian, dan MODENAS memang berhasrat untuk menjadi peneraju dalam menyediakan produk yang dijamin berkualiti," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini.

Motosikal varian MODENAS 118EFI yang dijual pada harga RM4,755 seunit (tidak termasuk insurans dan cukai jalan) itu dikuasakan dengan enjin 120cc teknologi Kawasaki, yang dilengkapi dengan sistem pancitan bahan api yang dibekalkan oleh Synerject, satu syarikat yang terkenal dalam industri automotif.

Model baru itu juga dilengkapi dengan tayar tanpa tiup, brek cakera hadapan dwi-piston untuk kuasa brek yang lebih cekap dan tangki minyak berukuran 4.3 liter yang mampu mencatat perjalanan sehingga 250 kilometer.

Abdul Halim berkata, model baru yang mempunyai ciri-ciri istimewa seperti transmisi empat kelajuan dengan sistem gear berputar dan didatangkan dengan dua warna iaitu "hijau alam" dan "biru semesta" diyakini dapat menepati cita rasa semua golongan pengguna yang menginginkan satu motosikal canggih dan bergaya.

Katanya, sempena dengan pelancaran model baru itu hari ini, MODENAS melanjutkan jaminan pengeluarannya kepada dua tahun atau 25,000 kilometer bagi beberapa model yang berasaskan cadangan kebolehpercayaan motosikal keluaran syarikat berkenaan. 

Majlis pelancaran MODENAS 118EFI disempurnakan oleh Pengarah Urusan DRB-HICOM, Tan Sri Mohd Khamil Jamil, sempena DRB-Hicom Autofest 2013 di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA).

DRB-Hicom Autofest 2013 adalah acara kedua tahun ini yang bertujuan meningkatkan kumpulan itu sebagai peneraju automotif, dengan adanya jenama yang pelbagai dan yang disegani di Malaysia.

Acara tiga hari, yang bermula Jumaat lalu, dijangka menarik lebih 15,000 pelawat, dengan tawaran dan promosi yang menarik terhadap kenderaan, pacuan empat roda dan motosikal serta cabutan bertuah.

Ia akan turut mempamerkan lebih 100 kenderaan dari pelbagai jenama termasuk Lotus, Proton, Audi, Volkswagen, Honda, Suzuki, Mitsubishi, Isuzu, MODENAS dan BRP Can-Am. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment