Tubuh Skuad Pemantauan Rakan Ikan
Oleh SALEHUDIN MAT RASAD
TEMERLOH, SABTU, 29 Jun, 2013: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mewujudkan Skuad Pemantauan Rakan Ikan bagi membendung kegiatan menangkap ikan secara haram di seluruh negara.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sejak akhir-akhir ini, terdapat pihak tidak bertanggungjawab menggunakan tuba, racun rumpai dan bahan letupan untuk menangkap ikan di sungai.
Menurut beliau, sebagai permulaan, seramai 15 penduduk dilantik sebagai skuad pemantau tersebut di daerah ini bagi membanteras kegiatan itu.
Mereka dibekalkan pelbagai peralatan termasuk lampu suluh dan sistem Penentu Kedudukan Global (GPS) bagi memudahkan gerakan mengesan pihak terbabit yang menjalankan kegiatan itu.
Walaupun kegiatan ini belum serius, namun usaha membanteras perlu dilakukan mulai sekarang," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Gegar Perikanan dan pelepasan benih ikan peringkat kebangsaan, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ahmad Sabki Mahmood.
Ismail Sabri berkata, skuad itu akan diperluaskan ke setiap daerah di seluruh negara secara berperingkat.
Beliau yakin penubuhan skuad tersebut bukan sahaja mencegah kegiatan haram itu tetapi dapat membiakkan ikan sungai yang semakin mendapat sambutan dalam kalangan penggemarnya.
Menurutnya, pihaknya akan meningkatkan lagi kegiatan pemeliharaan ikan sungai kerana permintaan terlalu tinggi dalam kalangan penduduk tempatan dan luar negara.
Ikan sungai memberi pendapatan kira-kira RM6 billion setahun dan dijangka meningkat pada masa depan berikutan permintaan semakin banyak ketika ini," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment