My Add

Saturday 29 June 2013

Singham memilih bersara wajib 65 tahun - Ariffin

PUTRAJAYA, SABTU, 29 Jun, 2013: Adalah wajib bagi Hakim Mahkamah Tinggi Datuk V.T. Singham bersara pada usia 65 kerana beliau telah memilih berbuat demikian ketika usia persaraan wajib bagi hakim dinaikkan kepada 66 tahun, kata Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria.

Beliau berkata apabila umur persaraan wajib hakim dinaikkan, semua hakim diberi borang untuk membuat pilihan sama ada bersara pada usia 65 atau melanjutkannya sehingga 66 tahun.

Ariffin berkata, perkara itu susulan pindaan Perlembagaan Persekutuan beberapa tahun lalu yang menaikkan usia persaraan hakim daripada 65 tahun kepada 66.

"Semua hakim, kecuali V.T. Singham, memilih untuk bersara pada usia 66.

Sehubungan itu usia persaraan wajib beliau ialah pada 65," kata Ariffin ketika dihubungi Bernama.

Beliau juga menambah perkara itu merupakan proses biasa persaraan.

"Semua hakim diberi borang pilihan untuk menyatakan mereka mahu bersara pada usia 65 atau 66. Anda tidak boleh paksa mereka bersara pada usia 66," katanya mengulas mengenai persaraan Singham itu.

Singham bersara semalam yang merupakan hari jadi ke-65 beliau.

Rabu lepas beliau membuat penghakiman yang tidak memihak kepada polis dan kerajaan berhubung kes kematian tahanan A. Kugan pada 2009.

Ariffin berkata beliau telah menandatangani surat penghargaan yang disampaikan kepada Singham. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment