My Add

Sunday, 30 June 2013

PPK perlu bantu pertingkat pengeluaran makanan negara: Ismail Sabri

BERA, AHAD, 30 Jun, 2013: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) perlu mempertingkat pengeluaran industri agro-makanan negara bagi menampung keperluan penduduk di Malaysia.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata import makanan negara setiap tahun melebihi RM13 bilion dan usaha mempertingkat pengeluarannya perlu dipandang serius.

"Bagi menangani perkara itu, PPK boleh memainkan peranan dalam mempertingkat pengeluaran agro-makanan negara.

"Saya yakin jika ini dilaksana, kita bukan sahaja akan dapat menjimatkan peruntukan mengimport bahan makanan itu, malah dapat memberi sumber makanan bermutu kepada rakyat, sekali gus mempertingkat pendapatan PPK itu sendiri," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PPK Kawasan Bera hari ini.

Anggota Parlimen Bera itu berkata ketika ini, PPK hanya menyumbang sebanyak 10 peratus sahaja daripada keperluan sumber makanan negara.

"Dengan keanggotaan melebihi 800,000 orang, peratusan sumbangan kepada pengeluaran negara pasti dapat dipertingkatkan lagi," katanya.

Ismail Sabri juga berkata kerajaan menyasar PPK dapat menghasilkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada sumber makanan negara dalam tempoh lima tahun akan datang. 

Beliau berkata pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Pertubuhan Peladang sedia bekerjasama bagi membantu dan memasarkan produk petani di negara ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment