My Add

Saturday 29 June 2013

Penyatuan nasional melalui jati diri budaya

KUALA LUMPUR, UMAAT, 28 Jun, 2013: Penyatuan nasional boleh dicapai melalui penghayatan jati diri budaya pelbagai tahap dalam kalangan rakyat negara ini supaya sebarang bentuk ekstremis dan isu perkauman tidak sihat dapat ditangani.

Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Zainal Kling menyifatkan, elemen jati diri budaya pelbagai tahap itu perlu dididik mencakupi semua peringkat.

Menurutnya, perbezaan bangsa, budaya dan agama juga tidak perlu diperbesarkan pada tahap nasional bagi mengurangkan jurang perkauman dalam kalangan rakyat.

Sejajar dengan usaha itu, jelas beliau, segenap lapisan masyarakat di negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama dan bahasa seharusnya meletakkan kesatuan di bawah satu perpaduan iaitu dengan melabelkan diri mereka sebagai warganegara Malaysia.

"Masyarakat perlu berhenti bercakap baik dalam media massa, media elektronik mahupun media sosial bahawa rakyat di negara ini terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina atau India dan bersifat plural.

"Apa yang perlu ialah menyamakan diri mereka pada satu persamaan yang paling betul, paling kuat, paling tegas iaitu dengan melabelkan diri sebagai warga Malaysia," katanya selepas Perbincangan Meja Bulat 'Konsep dan Cabaran' Penyatuan Nasional anjuran MPN di sini hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan kerajaan akan melaksanakan usaha ke arah penyatuan nasional supaya keharmonian kaum dan perpaduan kebangsaan dapat dicapai.

Menurut Zainal, dalam merealisasikan saranan tersebut, penggunaan hanya satu bahasa rasmi sebagai penghubung merupakan langkah terbaik dalam matlamat penyatuan nasional.

"Kita memerlukan satu bahasa iaitu bahasa Melayu sebagai penghubung dan ini merupakan pra syarat paling penting untuk usaha ke arah penyatuan.

"Dengan mengamalkan penggunaan hanya satu bahasa, rakyat di negara ini akan berhubung sebagai satu bangsa," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment