My Add

Sunday 30 June 2013

Malaysia bertindak ke arah menjadikan dadah bukan sebagai bahan jenayah: Nancy 

 KUALA LUMPUR - Malaysia sedang bertindak ke arah menjadikan dadah bukan sebagai bahan jenayah agar lebih mudah dan terbuka buat penagih dadah mendapatkan rawatan dan pemulihan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nancy Shukri berkata, dasar kerajaan kini beranjak lebih kepada merawat pengguna dadah daripada mendakwa mereka.

Beliau berkata, hasrat ASEAN untuk menjadi rantau bebas dadah menjelang 2015 tidak begitu realistik tetapi mengambil perhatian bahawa perubahan pendekatan pihak berkuasa dapat mengurangkan bilangan penagaih dadah.

"Tidak wujud perkara seperti bebas dadah tetapi kita boleh mengawalnya dengan mengubah atau menganjak dasar kita. Daripada melihat penagih dadah sebagai penjenayah kita perlu melihat mereka sebagai pesakit. Daripada menghantar mereka ke penjara, kita bawa mereka ke klinik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Panel Peringkat Tinggi mengenai Dasar Dadah dan Kesihatan Umum anjuran Suruhanjaya Global mengenai Dadah, di sini hari ini.

Mesyuarat itu diadakan bersempena Persidangan Persatuan AIDS Antarabangsa ke-7 2013 di sini.

Beliau berkata, kerajaan juga sedang menyemak semula undang-undang berhubung dadah di negara ini, termasuk Akta Penagih Dadah 1983 (Rawatan dan Pemulihan). - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment