My Add

Saturday 29 June 2013

Johan qari, qariah dapat jongkong emas

PUTRAJAYA, JUMAAT, 28 Jun, 2013: Buat pertama kali, johan qari dan qariah Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTQA) tahun ini akan menerima jongkong emas seberat 350 gram bernilai RM70,000 bersama wang tunai RM40,000.

Jongkong emas itu adalah sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, hadiah itu adalah usaha penambahbaikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) terhadap pertandingan memasuki tahun ke-55 itu.

"Sudah tiba masanya kita tampilkan satu inisiatif atau hadiah yang boleh membezakan MTQA anjuran kita dengan negara Islam lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan logo baharu dan setem peringatan sempena pertandingan itu yang bakal berlangsung selama lapan hari bermula esok di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.

Setakat ini, seramai 76 peserta daripada 45 buah negara telah mengesahkan penyertaan.

Malaysia akan diwakili oleh johan qari dan qariah pertandingan Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan baru-baru ini iaitu Anuar Hasin dari Perak serta Hanimzah Jalaluddin dari Pahang. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment