85 anak yatim cemas, asrama didiami terbakar
Oleh ILAH HAFIZ AZIZ
KUALA LUMPUR, SABTU, 29 Jun, 2013: Sebanyak 85 anak yatim yang sedang mengikuti kelas agama di Rumah Bakti Datuk Harun di Hulu Klang cemas selepas asrama pelajar lelaki itu yang terletak di tingkat tiga musnah dalam kebakaran malam tadi.
Kebakaran yang bermula pukul 9.45 malam itu memusnahkan keseluruhan tingkat tiga asrama berkenaan.
Bagaimanapun, kesemua 40 pelajar lelaki yang menetap di situ terselamat kerana ketika kejadian mereka sedang mengikuti kelas agama di tingkat satu bangunan tersebut.
Pengerusi rumah anak yatim itu, Datuk Mohd. Fahmi Ibrahim memberitahu, kebakaran itu tidak disedari penghuni asrama berkenaan sebaliknya dilihat pekerja bengkel yang terletak bersebelahan rumah kebajikan itu.
"Saya dimaklumkan pekerja bengkel itu yang mula-mula nampak api di tingkat tiga dan bumbung asrama. Dia kemudian menjerit kerana bimbang pelajar asrama sedang tidur.
"Bagaimanapun jeritan itu tidak didengari pelajar menyebabkan pekerja terbabit bertindak memecah pagar asrama dan mengejutkan mereka. Ketika itu barulah anak-anak yatim menyedari bangunan itu terbakar dan segera menyelamatkan diri," katanya.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, ketika kejadian seramai 85 anak yatim berusia antara tujuh hingga 16 tahun di dalam bangunan itu. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment