Eksport buah-buahan tempatan RM500 juta setahun
BUKIT MERTAJAM, SABTU, 29 Jun, 2013: Nilai eksport buah-buahan tempatan ke pasaran luar negara mencecah purata RM500 juta setiap tahun dengan Singapura dan China menjadi pengimport utama.
Jumlah berkenaan dijangka meningkat apabila beberapa negara seperti Korea Selatan dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) menjadi negara terbaharu yang turut menunjukkan minat untuk membawa masuk buah-buahan tempatan antaranya durian, manggis dan mangga.
Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak berkata, pasaran di China bukan sahaja meliputi buah-buahan segar, malah durian sejuk beku serta produk berasaskan durian.
Beliau berkata, di China sahaja pasaran durian kini mencecah 250,000 tan metrik setahun dengan nilai jualan mencecah RM43 juta pada tahun lalu dan pada tiga bulan pertama tahun ini, pasarannya mencecah RM27.3 juta.
Kita berjaya menembusi pasaran China untuk membawa masuk buah-buahan tempatan seperti durian, manggis, cempedak dan mangga selain produk berasaskan durian.
Pada tahun ini, FAMA meneroka pasaran baharu di Korea Selatan dan UAE yang menunjukkan minat untuk mendapatkan buah-buahan segar dari Malaysia," katanya selepas merasmikan Karnival Amal dan Keusahawan-Festival Makanan dan Buah-Buahan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pulau Pinang, di sini malam tadi.
Yang turut hadir, Pengarah FAMA Wilayah Utara, Mohd. Radzi Muhammad Hanafian dan Pengarah FAMA negeri, Habibah Sulaiman.
Selain jualan, karnival empat hari yang berakhir esok anjuran Jabatan Pengurusan Perniagaan dan UiTM itu turut memberi peluang kepada pengunjung menikmati durian sepuas hati dengan bayaran RM15 seorang.
Menurut Ahmad, bagi mencapai hasrat itu, pengeluaran buah-buahan bermusim di negara ini juga ditingkatkan sehingga 100,000 tan metrik pada tahun ini.
Selain itu, jelasnya, pengeluaran buah-buahan segar adalah bagi menggalakkan lagi penduduk Malaysia untuk makan buah-buahan yang memiliki banyak khasiat dan serat.
Setakat ini kadar pengambilan buah-buahan di kalangan rakyat Malaysia hanya 63 kilogram setahun dan ia tidak memberangsangkan berbanding Jepun, China dan negara Eropah.
Sasaran kita ialah 100 kilogram setahun kerana di sebalik untuk pasaran luar pastinya pengeluaran buah-buahan tempatan adalah untuk kegunaan rakyat kita sendiri," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment