My Add

Sunday 30 June 2013

Majlis Fatwa Kebangsaan kaji secara menyeluruh kesan hisap shisha

KUALA LUMPUR, SABTU, 29 Jun, 2013; Kajian Majlis Fatwa Kebangsaan berhubung kesan menghisap shisha dijalankan secara menyeluruh dengan melibatkan pandangan pakar kesihatan.

Pengerusinya, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Abdul Shukor Husin berkata, kajian itu turut mengambil kira hukum menghisap shisha yang diguna pakai di negara-negara Asia Barat seperti Arab Saudi dan Mesir.

Menurut beliau, Majlis Fatwa Kebangsaan akan membuat keputusan selepas kajian yang kini pada peringkat akhir itu selesai.

"Langkah seterusnya bergantung kepada jawatankuasa fatwa negeri untuk mengambil kira pandangan Majlis Fatwa Kebangsaan jika bersesuaian.

"Dalam hal ini, Majlis Fatwa Kebangsaan hanya boleh mengeluarkan pandangan, namun tindakan penguatkuasaan terletak di bawah pihak berkuasa negeri," katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Abdul Shukor mengulas keputusan Jawatankuasa Fatwa Perlis mengharamkan kegiatan menghisap dan menjual shisha kerana mendatangkan kemudaratan yang lebih teruk berbanding rokok.

Selain Perlis, langkah pengharaman itu turut dilaksanakan kerajaan negeri Melaka sejak 2009.

Mengulas lanjut, Abdul Shukor memberitahu, secara dasarnya, Islam tidak membenarkan umatnya melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan kesihatan, ekonomi dan alam sekitar.

"Kita mengalu-alukan keputusan Jawatankuasa Fatwa Perlis itu dan percaya dibuat dengan berpandukan kajian saintifik," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment