My Add

Saturday, 29 June 2013

Pindah aset DAP: Guan Eng mesti berterus-terang

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 28 Jun, 2013; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng perlu berterus-terang dan memberi penjelasan sama ada pimpinan tertinggi parti berkenaan benar-benar mengharapkan pendaftaran parti itu dibatalkan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Bekas Ketua Cawangan DAP Pantai Sepang, R. Vellasamy berkata, dakwaan berlakunya proses pemindahan pemilikan aset DAP kepada beberapa individu merupakan perkara serius yang memerlukan penjelasan Guan Eng mengenai hala tuju parti itu.

"Arahan ROS adalah pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) DAP diadakan semula tetapi sampai sekarang masih belum ada lagi, semua orang tertanya-tanya adakah Guan Eng mengharapkan pendaftaran parti itu dibatalkan kerana hendak menyingkirkan kumpulan yang tidak menyokongnya.

"Sekarang ini timbul pula soal pemindahan aset parti bernilai jutaan ringgit, jika selama ini dia hanya tahu menyalahkan Barisan Nasional (BN), sekarang ini dia harus bertanggungjawab memberi penjelasan dan tidak boleh menganggap DAP miliknya dan bapanya, Lim Kit Siang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kelmarin, Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, Seremban, A. David Dass berkata, dakwaan DAP memindahkan aset bernilai jutaan ringgit kepada pemimpin dalaman parti seolah-olah menunjukkan Dinasti Lim 'mengharapkan' pendaftarannya dibatalkan.

Dakwaan mengenai proses pemindahan aset itu didedahkan oleh aktivis MIC, Datuk R. Ramananan yang turut percaya, hanya dengan pembatalan pendaftaran parti oleh ROS, Guan Eng berkemungkinan besar akan dapat menyingkirkan sejumlah besar kumpulan yang tidak menyokongnya khususnya yang berketurunan India.

Pemilihan CEC DAP pada tahun lalu menimbulkan keraguan dan kini berada dalam siasatan ROS kerana didakwa wujud penyelewengan selepas parti itu dikatakan gagal memberi notis kepada 753 delegasi yang merupakan ahli sah untuk mengundi dalam pemilihan tersebut.

Sementara itu, bekas Setiausaha DAP Cawangan Kampung Baru Balakong, Tan Chew Wah berkata, tindakan DAP yang seolah-olah mengharapkan pembatalan parti tersebut seperti mencabar ketegasan ROS.

"Kita semua tahu masalah ini berpunca daripada pemilihan CEC yang amat meragukan tetapi Guan Eng perlu ingat yang negara ini ada undang-undang yang perlu dipatuhi.

"Ahli DAP juga ada hak terhadap parti ini dan Guan Eng tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya hanya kerana mahu Dinasti Lim terus berkuasa," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment