My Add

Thursday 1 August 2013

Jemaah tidak tersenarai diutamakan tunai haji 2014

SUNGAI PETANI, RABU, 31 Julai, 2013: Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) akan memberi keutamaan kepada jemaah yang tidak tersenarai menunaikan ibadat haji tahun ini ekoran pemotongan kuota oleh kerajaan Arab Saudi menunaikan ibadat tersebut tahun depan.

Walau bagaimanapun, Pengerusinya, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, kerajaan menerusi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sudah mengemukakan rayuan supaya kuota jemaah haji Malaysia sebanyak 28,000 orang dikekalkan.

Katanya, perkara itu juga sedang diteliti kerajaan Arab Saudi dan keputusannya dijangka diketahui September ini.

"Saya meminta semua pihak bersabar. Kita juga meminta semua bakal jemaah haji akur dengan sebarang keputusan yang dibuat kerana kuota ini bukanlah di bawah kawalan kerajaan Malaysia.

"Sekiranya mereka yang patut pergi tahun ini tetapi tidak dapat berbuat demikian akibat pemotongan kuota sebanyak 20 peratus atau 5,600 orang itu, insya-Allah kita akan letakkan nama mereka dalam senarai keutamaan tahun depan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas membawa sebanyak 120 anak yatim dari kawasan Parlimen Baling membeli kelengkapan Hari Raya Aidilfitri di Gedung Jakel, di sini hari ini.

Kerajaan Arab Saudi mengambil keputusan mengurangkan kuota itu berikutan terbatasnya ruang ibadat di tanah suci ketika ini kerana projek mega memperluaskan Masjidil Haram di Mekah sedang giat dijalankan untuk memberi keselesaan kepada jutaan jemaah haji pada masa hadapan.

Abdul Azeez berkata, Tabung Haji turut mengkaji faktor usia dalam pemilihan jemaah bagi menunaikan ibadat haji.

Dalam masa sama, beliau mengingatkan orang ramai tidak terpengaruh dengan pelbagai khabar angin berhubung pemilihan jemaah haji.

"Kita dengan khabar yang mendakwa mereka yang berumur 60 tahun dapat surat memaklumkan akan pergi selepas 90 tahun, ini tidak benar.

"Kita sedang kaji bagaimana memberi keutamaan kepada mereka yang berusia, yang penting mereka mesti mempunyai tahap kesihatan sempurna untuk tunaikan ibadat haji," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai program bersama anak yatim itu, Abdul Azeez yang juga Ketua UMNO Bahagian Baling berkata, beliau memperuntuk kira-kira RM20,000 bagi meraikan anak yatim tersebut.

Katanya, program tahunan itu bertujuan membolehkan anak yatim di kawasan Baling meraikan sambutan Aidilfitri dengan penuh gembira seperti kanak-kanak lain.

Tambah beliau, pihaknya turut mengenal pasti seramai 330 pelajar sekolah terdiri daripada anak yatim untuk disalurkan bantuan dari segi pakaian dan sumbangan duit raya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment