My Add

Thursday 1 August 2013

Ambil tindakan tegas pihak hina Islam

 * DARI kiri: Zulkifli Salleh, Ruhizat Safie, Abdul Rani Kulup Abdullah, Pak Long Nusantara, Mazni Abdul Ghani dan Mohd. Ali Baharom dari gabungan beberapa NGO membuat laporan polis berhubung penghinaan terbaharu video yang didakwa menghina Islam di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Pihak berkuasa digesa mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak mahupun individu yang melakukan perbuatan menghina serta mempermainkan kesucian agama Islam di negara ini.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, pihak berkuasa tidak boleh membiarkan individu berkenaan terlepas daripada sebarang tindakan undang-undang kerana perbuatannya itu jelas menghina kesucian Islam.

"Paparan bagaimana individu biadab ini mengambil wuduk, selepas memandikan anjing-anjingnya benar-benar menghina Islam kerana haiwan itu najis di sisi Islam. Begitu juga muzik latar yang menggunakan takbir hari raya,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas membuat tiga laporan polis oleh Timbalan Presiden MJMM, Ruhizat Safie; Setiausaha Agung Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Zainal Abidin Ahmad dan Presiden Lembaga Pembangunan Pengguna Malaysia (LPPM), Abdul Aziz Ismail di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini hari ini.

Laporan itu dibuat rentetan penyiaran sebuah video memaparkan seorang individu yang menamakan dirinya sebagai Chetz menyambut Aidilfitri dengan tiga ekor anjing.

Dengan berlatarbelakang suara takbir raya, video selama satu minit 43 saat itu menggambarkan seorang anak muda membuat persiapan di pagi raya dengan memandikan tiga ekor anjing itu sebelum mengambil wuduk.

Mengulas isu sama Timbalan Presiden Batas, Mazni Abdul Ghani berkata, pihak berkuasa tidak wajar berkompromi dengan perbuatan biadab seperti itu.

"Orang seperti ini wajar dikenakan tindakan paling tegas. Kerajaan tidak boleh berdiam diri," katanya lagi.

Presiden PVTM, Mohd. Ali Baharom ketika diminta mengulas isu tersebut berkata, perbuatan itu jika dibiarkan boleh menyebabkan negara menjadi huru-hara.

"Sama ada bulan Ramadan atau tidak, perbuatan seperti ini tidak boleh dilakukan oleh sesiapa pun, apatah lagi menyentuh dalam soal agama," ujarnya.

Pensyarah Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Muhd. Fauzi Muhamad berkata, perbuatan biadab mempersenda agama Islam dilihat menjadi-jadi ketika ini.

"Jika hukuman yang ada tegas serta setimpal terhadap kesalahan dilakukan, masalah ini pastinya selesai dan tidak berlarutan. Malangnya hukuman ketika ini tidak dapat dijadikan pengajaran kepada pihak lain," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment