My Add

Thursday 1 August 2013

Warga Felda sumbang makanan kepada ATM, PDRM sempena Aidilfitri

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Sebanyak 1,581 kotak makanan disumbangkan oleh warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di seluruh negara kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertugas semasa Aidilfitri nanti.

Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, agihan kotak sumbangan kepada PDRM adalah sebanyak 929 kotak manakala ATM (652 kotak).

Katanya, sumbangan dalam bentuk barangan makanan kering seperti kuih-muih ini adalah pemberian kecil warga Felda kepada jasa dan pengorbanan anggota keselamatan negara dalam menjaga keselamatan dan keharmonian yang tidak ternilai harganya.

"Seluruh warga Felda nyata berbangga dengan pengorbanan anggota polis dan tentera serta sumbangan seperti ini akan diteruskan pada masa-masa hadapan dengan penambahan bilangan kotak makanan untuk disumbangkan," katanya dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Ikhlas Warga Felda kepada PDRM dan ATM di Dewan Merak Kayangan, Balai Felda di sini hari ini.

Yang turut hadir Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Bakri Zinin.

Sementara itu menurut Zulkefeli, sumbangan dari Felda itu ternyata dihargai serta menjadi pembakar semangat terutama kepada anggota yang perlu bertugas pada Aidilfitri nanti.

"Semua sumbangan dari Felda ini telah kami hantar kepada anggota ATM yang melaksanakan misi Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lebanon ketika ini," katanya.

Dalam pada itu, jelas Mohd. Bakri, pemberian sumbangan sebegini daripada pelbagai pihak termasuk Felda membawa erti yang besar kepada setiap anggota polis terutama kepada mereka yang perlu bertugas dan berjauhan dengan keluarga semasa hari raya nanti.

"Hanya 10 peratus daripada kira-kira 114,000 anggota polis di seluruh negara ketika ini yang diberi cuti pada Hari Raya Aidilfitri nanti.

"Jelas majoriti polis akan bertugas bagi menjaga keselamatan orang ramai semasa perayaan nanti, maka sumbangan sebegini sudah tentu dihargai pasukan kami," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment