Oleh NORLIA RAMLI
BALING, RABU, 31 Julai, 2013: Kemuliaan hati guru-guru Sekolah Kebangsaan Pulai (SK Pulai) di sini menyumbangkan wang sendiri sempena pemberian bantuan khas kewangan RM500 kepada kakitangan awam oleh kerajaan yang akan diterima esok, membolehkan murid-murid mereka yang kurang berkemampuan meraikan Aidilfitri dengan persalinan baru.
Menerusi wang yang dikumpulkan itu, pihak sekolah membawa seramai 68 murid terlibat berbelanja membeli kelengkapan hari raya di Pasaraya Borong Man di sini, semalam dengan setiap murid menerima peruntukan sebanyak RM60.
Kegembiraan jelas terpancar di wajah murid-murid berkenaan apabila berpeluang memilih pakaian yang dihajati.
Kesemua pelajar tahun satu hingga enam itu dibawa berbelanja oleh guru-guru mereka sempena pemberian bantuan khas kewangan itu sebagai meringankan perbelanjaan keluarga murid-murid untuk membuat persiapan hari raya.
Sikap prihatin guru-guru tersebut terhadap murid-murid yang terdiri daripada anak-anak yatim dan miskin mendorong mereka untuk menghulurkan sedikit daripada 'bonus' yang diterima untuk sama-sama dinikmati oleh pelajar tersebut.
Menurut Penolong Kanan Pentadbiran SK Pulai, Mohamad Fauzi Md. Nor, 47, usaha mengumpul sumbangan daripada semua guru di sekolah tersebut sebagai menyahut aspirasi Kementerian Pendidikan di bawah Program Sekolah Penyayang.
"Ini adalah satu usaha mendekatkan lagi pihak sekolah dengan murid-murid di samping membantu mereka yang susah," ujarnya.
Katanya, selain peruntukan sebanyak RM60 setiap seorang untuk sepasang pakaian, mereka juga akan menerima duit raya yang disumbangkan oleh seorang tokoh korporat yang disampaikan pada majlis berbuka puasa.
Seorang murid, Siti Aisyah Abdullah, 10, yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik kelihatan amat teruja ketika memilih baju kurung kegemarannya.
"Saya suka sangat dengan baju kurung yang dibeli ini. Dapatlah saya berbaju baru pada Aidilfitri nanti," katanya yang kedua-dua ibu bapanya tiada pekerjaan tetap.
Bagi Syed Hameer Syed Omar, 11, yang kematian bapa, turut berasa gembira kerana berpeluang memiliki sepasang baju raya baharu dan amat menghargai pemberian daripada guru-gurunya.
"Terima kasih kepada guru-guru yang sudi membawa saya dan rakan-rakan membeli baju raya. Saya sangat gembira kerana memiliki baju raya baharu," kata anak bongsu daripada lima beradik itu. - UTUSAN

No comments:
Post a Comment