My Add

Thursday 1 August 2013

Chetz tampil membuat penjelasan

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Pemilik klip video yang menyambut Aidilfitri dengan tiga ekor anjing yang dikenali sebagai Chetz menafikan perbuatannya itu sebagai menghina Islam sebaliknya video yang dimuat naik tersebut dihasilkan sekadar 'suka-suka'.

Chetz atau nama sebenarnya Maznah Mohd. Yusof, 38, berkata, video tersebut sudah lama dihasilkan iaitu sejak 2010 tetapi baharu kini hangat diperkatakan.

"Alangkah baik video tersebut boleh mendidik orang ramai di luar sana tentang penjagaan anjing dan kebersihan," katanya seperti yang dipetik dalam portal melvister.com di sini hari ini.

Semalam heboh di laman sosial tentang video memaparkan individu menyambut Aidilfitri dengan tiga ekor anjing sambil berlatarbelakangkan takbir raya.

Video selama satu minit 43 saat itu menunjukkan individu terbabit membuat persiapan di pagi raya dengan memandikan tiga ekor anjing seolah-olah 'mengambil wuduk'.

Individu yang berbaju Melayu itu kemudiannya menghidangkan kuih raya kepada anjing-anjingnya.

Rakaman disertakan dengan keterangan : "Raikan Aidilfitri bersama-sama tanpa mengira spesies (manusia atau anjing (haiwan), warna kulit (kulit anjing tersebut), dan asal-usul (tempat asal anjing tersebut yang ditulis Klang Lama, Penang Island dan Rawang)."

Bahagian akhir video itu kemudian menyiarkan ucapan individu berkenaan dan tiga ekor anjing tersebut:

"Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin dari Chetz sekeluarga".

Maznah yang juga merupakan jurulatih anjing berkata, video itu direkod untuk menunjukkan kebersihan dalam menjaga haiwan peliharaan selain menyatakan anjing tidak haram untuk dibela.

"Anjing-anjing yang dibela itu kesemuanya merupakan anjing terbiar dan dibuang di jalanan malah ada di antaranya yang buta serta pernah dilanggar orang.

"Anjing ini tak haram, kalau basah, kita samak," jelasnya.

Menurutnya, keluarganya turut menyokong tindakannya menyelamatkan anjing jalanan dan terbiar walaupun ada di antara ahli keluarganya tidak bersetuju pada mulanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment