My Add

Thursday 29 August 2013

Clixster tawarkan nilai tambah pengurusan jenazah - Megat Radzman

KUALA LUMPUR, RABU, 28 Ogos, 2013: Pengendali rangkaian talian mudah alih, Clixster Mobile Sdn. Bhd. (Clixster) menawarkan nilai tambah berbentuk kemasyarakatan dalam pakej MyKifayah, iaitu perkhidmatan pengurusan jenazah secara bersepadu.

Dengan bayaran serendah RM2.50 sebulan, pelanggan Clixster bukan sahaja akan memperoleh perkhidmatan pengkebumian jenazah tetapi juga wang saguhati RM1,000 untuk waris pelanggan.

Pengerusi Eksekutif Clixster Mobile, Datuk Dr. Ir. Megat Radzman Megat Khairuddin berkata, MyKifayah telah diiktiraf sebagai perkhidmatan pertama seumpamanya di dunia.

"Inisiatif bersama Islamic Risk Holdings Sdn. Bhd. itu selaras dengan tuntutan agama Islam dalam memudahkan pelaksanaan tuntutan fardu kifayah khususnya dalam aspek pengurusan jenazah.

"Khidmat pengurusan jenazah ini dijalankan berlandaskan prinsip syariah Islam serta dilakukan secara sistematik dan profesional untuk perkhidmatan kepada pelanggan yang berada di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak," katanya pada sidang akhbar selepas pelancaran MyKifayah-Clixster Mobile di sini hari ini.

Majlis pelancaran yang disempurnakan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahaya itu turut dihadiri Pengarah Clixster Mobile, Azrinaz Mazhar Hakim; Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah; Pengasas MyKifayah, Mohd. Yusni Ismail dan Pengerusi Islamic Risk Holdings, Tan Sri Hassan Azahari.

Menurut Megat Radzman, antara perkhidmatan dalam pakej MyKifayah ialah khidmat rundingan, pengangkutan jenazah, memandikan jenazah, mengkafankan jenazah, solat jenazah, pengkebumian, bacaan talkin, bacaan 30 juzuk al-Quran ke atas nama si mati dan bantuan kepada waris dalam urusan dokumentasi.

Beliau memberitahu, menerusi kerjasama dengan Angkasa, pihaknya kini telah menerima seramai 20,000 pelanggan yang berminat untuk mendapatkan pakej perkhidmatan MyKifayah.

Katanya, pihaknya juga telah mendapat permintaan dari Indonesia agar perkhidmatan seumpama itu turut diperkenalkan di negara berkenaan.

"Pakej ini tidak hanya kepada orang Islam, kami juga menawarkan kepada orang bukan Islam namun dalam bentuk bayaran saguhati dan bukannya bantuan pengurusan kematian," katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai perkembangan semasa Clixster, jumlah pelanggan rangkaian talian mudah alih 3G dan 4G itu telah mencecah 200,000 pelanggan dan dijangka mencapai 500,000 pelanggan pada hujung tahun ini.

"Selain menambah pelbagai lagi produk perkhidmatan, kami juga akan mula beroperasi di United Kingdom pada hujung tahun ini dan Indonesia pada suku kedua tahun depan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment