My Add

Thursday 29 August 2013

Ibu harap penerima organ anaknya dapat mulakan kehidupan baharu

 *SITI Tahirah Sheik Daud menunjukkan gambar anaknya Allahyarham Aliah Sofea Amran yang mendermakan organ paru-paru, buah pinggang dan jantung kepada Pusat Sumber Transplan Nasional. - BERNAMA
PULAU PINANG, RABU, 28 Ogos, 2013: Kehilangan anak tersayang yang meninggal dunia akibat kecederaan parah pada otak sudah cukup memeritkan buat seorang ibu tunggal, namun dia tidak mahu ibu bapa yang lain menanggung kesedihan seperti dialaminya.

Anaknya mengalami kecederaan parah pada bahagian otak selepas terlibat dalam kemalangan pada 11 Ogos lalu dan meninggal dunia tiga hari kemudian.

Siti Tahirah Sheik Daud, 38, dengan ikhlas menderma organ milik anaknya, Aliah Sofea Amran, 10, kepada Hospital Pulau Pinang (HPP) pada 14 Ogos lalu.

"Apa yang terlintas dalam fikiran saya, biarlah kanak-kanak yang memerlukan organ ini dapat memulakan kehidupan baharu walaupun pemergian anak saya merupakan sesuatu yang amat memeritkan buat kami sekeluarga," katanya kepada pemberita di HPP di sini hari ini.

Tahirah memberitahu, tidak pernah terlintas dalam hatinya untuk menderma organ, namun apabila melihat kanak-kanak di wad yang meraung kesakitan dan tindakannya mungkin mampu mengembalikan mereka seperti orang biasa, dia terus bersetuju berbuat demikian.

"Saya tidak kisah organ itu diberikan kepada mana-mana bangsa asalkan mampu menghidupkan anak kecil itu serta menceriakan keluarganya," jelasnya.

Aliah Sofea merupakan anak ketiga daripada empat beradik dan dikatakan seorang yang peramah serta suka membantu orang.

Mengulas sikap pelik yang ditunjukkan oleh anaknya itu sebelum ditimpa kemalangan, Tahirah berkata, Aliah Sofea pernah menceritakan kepadanya tentang mimpi pergi ke Mekah.

Dia menambah, Aliah Sofea juga berpesan supaya tidak perlu risau kerana dia mampu menguruskan dirinya sendiri.

"Saya tidak sangka pesanannya itu merupakan petanda dia akan pergi untuk selama-lamanya.

"Dia memang suka glamor, nak jadi macam artis dan bagi saya, cita-cita dia sudah tercapai apabila pihak media berjumpa dengan saya untuk menderma organnya," katanya sedih. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment