My Add

Thursday 1 August 2013

Cuba menonjol dalam masyarakat
PENGANUT Syiah di Malaysia telah menggunakan platform hak asasi manusia melalui pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan mendakwa hak kebebasan beragama mereka telah dicabul.
Dikhuatiri isu yang dimainkan mereka mendapat sambutan meluas dan akan diterjemahkan kepada demonstrasi jalanan yang tidak terkawal sehingga membebankan kesemua pihak.
 Usaha mereka perlu dihalang kerana ditafsir akan menjadi satu cara untuk menjadikan Syiah sebagai satu mazhab yang diiktiraf di Malaysia dan menyulitkan lagi tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa.
 Oleh demikian, gerakan dakwah mereka perlu dipantau dan perkembangannya disekat sebelum mereka berupaya membentuk sebarang ancaman.
Wartawan ILAH HAFIZ AZIZ dan NORAZRIN MARZUKI dalam bahagian akhir siri laporan khas mendedahkan bagaimana penganut fahaman ini cuba menonjol dalam masyarakat menggunakan beberapa pendekatan.

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Pengamal ajaran Syiah di negara ini dikesan cuba mengambil kesempatan untuk menonjol dalam masyarakat dengan memperjuangkan isu global yang dihadapi masyarakat Islam di luar negara.

Mereka berselindung dengan menggunakan nama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan akan mengadakan demonstrasi di hadapan kedutaan luar negara bagi menentang kekejaman terhadap masyarakat Islam.

Beberapa tahun kebelakangan ini, antara isu yang sering digunakan mereka untuk menarik perhatian ramai adalah berkaitan keganasan Zionis di Palestin.

Mereka mengajak orang ramai untuk berhimpun dan membantah tetapi di sebalik agenda itu, kebanyakan pihak yang hadir merupakan pengikut fahaman Syiah.

Pemimpin fahaman Syiah itu sendiri dikesan menaikkan sepanduk mengenai Syiah dalam perhimpunan itu.

Perkara itu dibuktikan pada 4 Jun 2010 apabila mereka mengadakan perhimpunan membantah tindakan tentera Israel menyerang Kapal Mavi Marmara di perairan antarabangsa semasa sedang dalam perjalanan menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza, Palestin.

Demonstrasi itu yang dilakukan di hadapan Masjid Tabung Haji di Jalan Tun Razak dan disertai lebih 100 orang.

Yang turut dikesan hadir di situ adalah seorang pemimpin pembangkang yang sebelum ini pernah mencetuskan pelbagai kontroversi.

Selain itu, pada 17 Ogos 2012 di hadapan Masjid Menara Bangunan Tabung Haji di Jalan Tun Razak, sekali lagi mereka berhimpun dan seramai 50 hingga 60 aktivis Syiah telah berkumpul bagi membantah kekejaman Zionis terhadap Palestin.

Dalam perhimpunan itu, mereka mengutuk penindasan kepada orang Islam di Palestin dan menyeru setiap masyarakat Islam tidak mengira mazhab supaya menentang Amerika Syarikat dan Zionis.

Utusan Malaysia difahamkan, NGO yang mempunyai kaitan dengan Syiah itu juga aktif mengadakan kempen mengutuk keganasan di Palestin dan antara yang menarik perhatian adalah kempen mengumpul sejuta tandatangan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment