Program kebudayaan Iran platform sebar fahaman Syiah
KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Program kebudayaan mengenali negara Iran dikesan menjadi antara pendekatan aktivis Syiah dari negara itu untuk menarik pelajar-pelajar tempatan mendalami fahaman tersebut.
Utusan Malaysia difahamkan, selain menggunakan taktik majlis tazkirah dan berkumpul untuk membincang isu berkaitan Islam, warga Iran juga dikesan menggunakan pendekatan program kebudayaan negara mereka dalam usaha menambah jemaah Syiah.
Mereka menggalakkan pelajar-pelajar tempatan datang untuk mempelajari budaya dan cara hidup warganegara Iran dalam program yang dianjurkan di universiti.
Ketika itulah mereka akan berdakwah secara halus dan mengajak melakukan aktiviti-aktiviti berbentuk keagamaan.
Seterusnya mereka akan mengadakan ceramah agama diselangi dengan sesi perbincangan buku tentang Syiah khususnya karya pemimpin terkemuka Iran, Ayatollah Khomeini.
Difahamkan, sekurang-kurangnya lima hingga 10 pelajar tempatan telah terikut-terikut dengan majlis kebudayaan sebegitu di sebuah universiti tempatan setiap kali program seperti itu diadakan.
Sementara itu, sumber mendedahkan, pengikut fahaman Syiah bukan sahaja menubuhkan markas utama di beberapa buah negeri malah turut dikesan membina dua pusat sumber di utara tanah air.
Dua pusat sumber itu dikesan ditubuhkan di Kedah iaitu di Pekan Pokok Sena, Alor Setar dan Jitra, Kubang Pasu sejak Mei 2010.
Menurut sumber, pusat sumber di Alor Setar terletak di salah sebuah rumah pengikut Syiah manakala pusat sumber di Jitra pula berselidung di sebalik sebuah premis yang menjalankan perniagaan.
"Hasil risikan mendapati, pusat sumber di Jitra ini didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebagai sebuah syarikat perniagaan sejak 14 Mei 2010," katanya.
Penubuhan pusat sumber ini untuk menyimpan buku-buku dan tulisan mengenai fahaman Syiah dari dalam dan luar negara.
"Pusat ini dijadikan rujukan para pengikut Syiah kerana terdapat banyak buku yang diharamkan oleh kerajaan ada di situ.
"Tujuan mereka menubuhkan pusat sumber ini juga untuk menarik individu-individu lain yang berminat mengetahui atau mendalami Syiah," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment