My Add

Thursday 1 August 2013

Selangor mahu polis bantuan PBT

Oleh ABDUL YAZID ALIAS

SHAH ALAM, RABU, 31 Julai, 2013: Kerajaan negeri mahu Kementerian Dalam Negeri meluluskan permohonan mewujudkan pasukan polis bantuan dalam kalangan penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pasukan polis bantuan itu juga perlu diberi kuasa sama seperti anggota polis sebenar melibatkan aktiviti rondaan di kawasan PBT masing-masing dan membuat tangkapan selain dibenar membawa serta menggunakan senjata api.

Beliau berkata, penubuhan pasukan polis bantuan PBT itu dibuat atas alasan mempertingkat tahap keselamatan 12 kawasan PBT di Selangor lebih-lebih lagi dengan perkembangan kes jenayah melibatkan senjata api sejak kebelakangan ini.

"Kerajaan negeri sebelum ini membuat permohonan untuk menubuhkan pasukan polis bantuan PBT, namun tidak mendapat sebarang reaksi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata, pihaknya masih membincangkan perkara itu memandangkan masalah keselamatan tidak akan selesai sekiranya bidang kuasa pasukan polis bantuan PBT terhad bagi menjaga bangunan semata-mata.

Sebaliknya tambah beliau, bidang kuasa polis bantuan perlu diperluas bagi membantu mengurangkan kadar jenayah.

Mengenai pasukan polis bantuan PBT di negeri ini, Abdul Khalid berkata, setiap pasukan mempunyai 30 anggota dengan kerajaan negeri menggunakan peruntukan negeri lebih RM3,000 untuk membiayai setiap seorang anggota dari segi latihan dan sebagainya.

Beliau berkata, sekiranya PDRM bersetuju dengan cadangan itu, anggota polis bantuan PBT tersebut akan diberi latihan secukupnya.

Malah, tambah beliau, kewujudan pasukan polis bantuan PBT itu dapat mengurangkan jurang nisbah anggota polis dalam masyarakat di sesebuah kawasan PBT. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment