My Add

Thursday 29 August 2013

Walaupun Mesir beransur tenang

Oleh Herman Hamid

 *KEADAAN Masjid Rabiatul Adawiyah kini dibaik pulih yang mengalami kerosakan ekoran pertempuran kedua di medan Rabaah kesan konflik di Kaherah, Mesir.
KAHERAH, RABU, 28 Ogos, 2013: Sejak krisis politik Mesir akhir Jun lalu, hampir tidak ada tembok bangunan sama ada komersial, kediaman mahu pun pejabat kerajaan di bandar raya itu yang terlepas daripada diconteng dengan kata-kata luahan kemarahan penyokong bekas Presiden, Mohammed Mursi.

Luahan mereka itu ditujukan kepada kepemimpinan kerajaan sementara khususnya pihak tentera yang dilihat menjadi dalang di sebalik penggulingan Mursi dan insiden tragedi berdarah yang mengorbankan ribuan rakyat.

Namun dalam tempoh sehari dua ini, terdapat usaha memadamkan contengan tersebut terutama di bangunan kerajaan dan Masjid Rabiatul Adawiyah di Dataran Rabaah yang menyaksikan tragedi berdarah 14 Ogos lalu juga sedang giat dibaiki.

Bagaimanapun, bagi penyokong Mursi yang ditemui Utusan Malaysia, di sini, kemarahan mereka tidak dapat dipadamkan semudah memadamkan contengan tersebut kerana selagi Mursi tidak kembali menjadi Presiden Mesir maka selagi itulah mereka tidak akan berdiam diri walaupun ketika ini keadaan mula beransur tenang.

Bagi Mohamed Salam, jika sebelum tragedi berdarah di Medaan Rabaah, mereka memenuhi beberapa masjid dengan melakukan protes namun tindakan kekerasan tentera memaksa mereka untuk memilih jalan lain terutama media sosial bagi mengumpulkan sokongan.

Katanya, namun untuk menggunakan kekerasan kembali bagi menentang pihak berkuasa diyakini tidak akan sesekali berlaku kerana cara tersebut bukan menjadi pilihan mereka selain hanya akan membuatkan situasi bertambah rumit.

‘‘Anda boleh lihat propaganda kerajaan mengaitkan kami penyokong Mursi dengan keganasan tetapi pada setiap perhimpunan yang dianjurkan semuanya berlangsung dengan aman.

‘‘Kami bukan mahu mengangkat senjata tetapi hanya mahukan undi kami yang memilih Mursi sebagai Presiden Mesir setahun yang lalu dikembalikan," katanya.

Sementara itu, rakannya, Mahmoud Abdel berkata, sokongan kepada Mursi tidak pernah kendur walaupun keadaan semasa dilihat lebih tenang berikutan tindakan kekerasan pihak kerajaan sementara.

‘‘Demonstrasi dalam kumpulan kecil masih dilaporkan berlaku di luar Kaherah. Kemarahan ini tidak akan mampu dipadam dengan kekerasan pihak berkuasa.

‘‘Saya percaya sokongan akan terus meningkat. Walau apa pun alasan pihak menentang Mursi, tiada siapa yang boleh terima seorang Presiden yang diangkat menerusi pilihan raya demokrasi digulingkan," jelasnya.

Bagi seorang wanita, Aida Nasif, tindakan kekerasan bukan jalan penyelesaian kepada konflik politik Mesir yang kini telah meragut ribuan nyawa.

‘‘Sebab itu, di pihak penyokong Mursi, kami tidak pernah sesekali terlintas mahu bertindak balas dengan kekerasan.

‘‘Pada perhimpunan Jumaat lalu, saya turut hadir bersama anggota keluarga kerana yakin tiada kekerasan digunakan," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment