My Add

Wednesday 28 August 2013

Isu Kuin hangatkan persidangan DUN Kedah

 Tajul Urus 
ALOR SETAR, SELASA, 27 Ogos, 2013: Isu Kolej Universiti Insaniah (Kuin) menjadi tumpuan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah hari ini apabila timbul cadangan mengeluarkan kertas putih berhubung hasil siasatan dan langkah penyelesaian masalah melibatkan kolej universiti itu.

Isu berkenaan menjadi topik perbahasan hangat seorang Exco kerajaan negeri dan empat wakil rakyat masing-masing dua dari Barisan Nasional (BN) dan pembangkang.

Cadangan mengenai pengeluaran kertas putih tersebut disuarakan oleh Datuk Phahrolrazi Zawawi (Pas-Pengkalan Kundur) yang meminta kerajaan negeri mempertimbangkannya untuk penjelasan isu Kuin.

Beliau mencadangkan demikian kerana beranggapan langkah itu dapat meredakan isu tersebut yang dilihat tidak berkesudahan apabila pelbagai pihak mengeluarkan kenyataan mengenainya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Kerja Raya dan Pengangkutan negeri, Datuk Tajul Urus Md. Zain berkata, pihaknya akan membincangkannya terlebih dahulu cadangan tersebut sama ada wajar dilakukan atau sebaliknya demi kepentingan semua pihak.

"Saya akan membincangkannya dengan Menteri Besar (Datuk Mukhriz Tun Mahathir)," katanya.

Cadangan itu bagaimanapun dipersoalkan oleh Datuk Abu Hasan Sarif (BN-Kota Siputeh) yang khuatir tindakan mengeluarkan kertas putih akan memanjangkan lagi isu Kuin.

"Sepanjang lima penggal menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), tidak pernah wujud cadangan kertas putih dibangkitkan dalam persidangan DUN Kedah," katanya.

Berikutan itu, Dr. Leong Yong Kong (BN-Gurun) bangun mencelah bertanyakan apakah pembangkang bersedia menerima secara total jika kerajaan negeri mengeluarkan kertas putih hasil siasatan dan penyelesaian masalah Kuin.

Katanya, ia bagi mengelakkan isu itu berpanjangan jika ada pihak mengambil kesempatan dengan memutarbelitkan fakta mengenai kandungan kertas putih tersebut.

Phahrolrazi kemudian menyatakan persetujuan untuk menerimanya.

Terdahulu, semasa menjawab soalan Md. Zuki Yusof (Pas-Kuala Ketil) berhubung isu Kuin, Tajul Urus berkata, kerajaan negeri hendak meletakkan arah tuju Kuin sebagai sebuah institusi pengajian tinggi unggul seperti yang dihasratkan semua pihak.

Namun katanya, proses itu tidak boleh dilakukan sekelip mata tetapi mesti secara berhemah, teratur dan berstrategik.

"Sebab itulah pada hari ini walaupun ada mengatakan kita mengundur dan sebagainya namun kita sebenarnya tidak mengundur (ke belakang).

"Kita sedang mengorak langkah untuk mencari jalan yang sempurna untuk membawa Kuin ke arah matlamat yang kita cita-citakan," katanya.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Md. Zuki berhubung kesudahan masalah Kuin, Tajul Urus menegaskan, semua pihak tidak perlu bimbang kerana Kuin berada dalam tangan pemimpin kerajaan yang bertanggungjawab. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment