My Add

Wednesday 28 August 2013

Pengurusan kewangan bumiputera perlu diperkemas

 *KHAIRY Jamaluddin (kanan) menyampaikan dokumen sebagai simbolik penyerahan tugas sebagai Pengerusi PUNB kepada Mohd. Ali Rustam di Kuala Lumpur, semalam. Turut kelihatan Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Dzulkifli Fadzilah (kiri).
KUALA LUMPUR, SELASA, 27 Ogos, 2013: Pengurusan kewangan usahawan bumiputera di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) perlu diperkemaskan melalui audit pelbagai aspek termasuk lokasi, bekalan, pemasaran dan promosi perniagaan.

Pengerusi PUNB, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, itu adalah antara langkah yang bakal dilaksanakan beliau selepas memulakan tugas baharu di perbadanan tersebut berkuat kuasa 1 Ogos lalu.

"Isu dan masalah utama kita dalam kalangan usahawan bumiputera sekarang ialah pengurusan kewangan, kita nampaknya tidak faham dengan baik. Jadi saya rasa ini yang kita kena kukuhkan.

"Maka PUNB mungkin boleh membantu para usahawan kita dengan memberi nasihat dari segi pengurusan kewangan dan juga aspek lain dalam perniagaan," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis serah tugas bagi jawatan itu oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin yang merupakan Pengerusi PUNB sebelum ini, di sini hari ini.

Mohd. Ali dilantik sebagai Pengerusi PUNB yang baharu menggantikan Khairy yang sebelum ini memegang jawatan itu selama lebih setahun.

Bekas Ketua Menteri Melaka itu berkata, pengurusan kewangan yang tidak baik merupakan faktor kegagalan golongan bumiputera untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan.

Sehubungan itu beliau menggesa golongan usahawan bumiputera perlu berusaha lebih keras bagi memastikan golongan tersebut terus maju setanding bangsa lain sekali gus mencapai matlamat Wawasan 2020.

Sementara itu, Khairy ketika berucap berkata, PUNB merupakan agensi penting dalam agenda membangunkan ekonomi bumiputera dan beliau percaya dengan kepimpinan Mohd. Ali, PUNB akan terus bergerak seiring dengan matlamat kerajaan.

"Saya yakin pelantikan beliau akan melonjakkan lagi PUNB sebagai agensi yang membantu golongan bumiputera untuk terus berdaya saing. Pengalaman beliau ketika menjadi Ketua Menteri Melaka adalah sesuatu yang amat berguna," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment