My Add

Wednesday 28 August 2013

Perak capai taraf negeri maju 2015

 *ZAMBRY Abd. Kadir mendengar penjelasan daripada ADUN Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham dan ADUN, Nga Kor Ming sambil diperhatikan ADUN Pengkalan Baharu, Datuk Abdul Manaf Hashim (kanan) ketika sidang DUN Perak berehat di Ipoh, semalam.
IPOH, SELASA, 27 Ogos, 2013: Kerajaan negeri yakin pelan Perak Amanjaya yang merupakan pelan induk pembangunan jangka panjang negeri ini mampu melonjakkan Perak ke arah status negeri maju menjelang tahun 2015.

Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, keyakinan itu berdasarkan beberapa indikator positif yang ditunjukkan pelan tersebut termasuklah peningkatan pendapatan isi rumah daripada RM2,809 bagi tahun 2009 kepada RM3,548 pada 2012.

Katanya, petunjuk positif itu juga memperlihatkan berlaku penurunan ketara jumlah miskin tegar di negeri ini daripada 0.5 peratus pada tahun 2009 kepada 0.2 peratus bagi tahun 2012.

''Pencapaian pelan transformasi ini diukur melalui tiga aspek utama iaitu Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), kemasukan nilai pelaburan langsung asing (FDI) dan kadar pengangguran.

''Bagi nilai FDI, jumlahnya masih menggalakkan di mana nilai FDI bertambah dengan ketara iaitu pada 2009 sebanyak RM399.5 juta, RM1646.7 juta (2010) dan RM1592.1 juta (2012). Kesemua angka ini adalah untuk sektor pembuatan sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd. Tarmizi Idris (BN-Kenering) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Kali Ke-13 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, pelan pembangunan secara holistik yang memberi fokus kepada transformasi melibatkan tiga aspek iaitu sosio-ekonomi, sektoral dan fizikal itu dilihat memberi ruang kepada rakyat merasai limpahan nikmat daripada pembangunan komprehensif yang seimbang, berkesan dan berkualiti.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan, beliau berkata, kerajaan negeri tidak bersifat statik dalam usaha membangunkan negeri ini.

Ini katanya, dapat dilihat melalui pelan Perak Maju 2015 yang diumumkan pada tahun 2008 sebelum perubahan dilakukan dengan pelancaran gagasan Perak Amanjaya.

''Perubahan ini bererti kita melihat daripada aspek kesesuaian dan dinamika pembangunan yang telah dan sedang berlaku di Perak. Sekiranya perlukan perubahan dan anjakan, maka kita akan laksanakan.

''Bagi tujuan itu juga kerajaan negeri telah memanggil sekumpulan perancang dan ahli pemikir dalam kalangan profesional dari universiti untuk membuat tinjauan berhubung tahap pembangunan di Perak dalam beberapa tahun kebelakangan ini," ujarnya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment