My Add

Wednesday 28 August 2013

Zambry bidas pembangkang

IPOH, SELASA, 27 Ogos, 2013: Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir membidas sikap pemimpin pembangkang yang menggunakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak untuk melepaskan rasa kecewa terhadap sistem kehakiman negara selepas hampir semua petisyen keputusan pilihan raya umum lalu ditolak dengan kos yang tinggi.

Menurut beliau, kes-kes yang dibawa ke mahkamah sepatutnya diselesaikan di mahkamah dan bukannya dibahaskan di dalam sidang DUN kerana negara ini mengamalkan pemisahan di antara badan legislatif, kehakiman dan eksekutif.

Katanya, Ketua Pembangkang negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin juga tidak sepatutnya membuat tuduhan liar termasuk menamakan individu tertentu kerana mereka tidak diberikan peluang untuk mempertahankan diri.

"Saya pun tidak faham adakah ini luahan perasaan dalaman yang tidak dapat beliau bendung menyebabkan beliau membangkitkan perkara yang tidak sewajarnya kerana kes itu melibatkan mahkamah," katanya dalam satu sidang akhbar di luar sidang DUN Perak Ke-13 di sini hari ini.

Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor berkata, tindakan Mohammad Nizar yang juga ADUN Changkat Jering itu mencacatkan sedikit mutu perbahasan hari ini yang secara keseluruhannya agak baik.

"Kualiti perbahasan beliau sangat rendah. Kita semua dapat lihat bagaimana kualiti perbahasan beliau yang enam dan tujuh kali mengulang benda yang sama dan perkara berkaitan mahkamah yang sepatutnya tidak dibahaskan.

"Beliau sepatutnya tahu peraturan itu dan saya pun percaya rakan-rakan beliau tidak begitu mesra dengan cara beliau berterusan keluarkan kenyataan liar dan tidak bertanggungjawab," ujarnya.

Sementara itu, Speaker DUN Perak, Datuk S.K Devamany berkata, perkara dalam proses dan keputusan mahkamah perlu dibicarakan di institusi tersebut kerana cabang kehakiman, legislatif dan eksekutif masing-masing mempunyai peranan sendiri.

"Ahli-ahli yang berhormat perlu guna sidang DUN untuk membahaskan isu berkaitan rakyat, menggubal undang-undang dan membawa usul yang ada kepentingan rakyat tetapi apabila satu proses yang berada atau dibicarakan di mahkamah dibahaskan dipersoalkan dan dicabar di sini, ini tidak kena," katanya.

Mohammad Nizar semasa membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah mendakwa beliau terpaksa membawa isu tersebut ke dalam sidang DUN kerana tidak dibenarkan bersuara di mahkamah setelah petisyen tersebut ditolak oleh mahkamah sebelum sempat dibicarakan.

Beliau juga mendakwa kononnya sebanyak enam ADUN menang selepas melakukan penipuan dalam pilihan raya umum lalu dengan melakukan sogokan kepada pengundi.

ADUN Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham yang juga Pengerusi DAP turut mempersoalkan keputusan mahkamah menolak petisyen-petisyen tersebut sebelum dibicarakan.

Menurut beliau, sesuatu petisyen itu sepatutnya dibicarakan di mahkamah sekiranya mempunyai merit untuk didengar dan bukannya ditolak atas alasan kesilapan teknikal. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment