My Add

Thursday 1 August 2013

Kekurangan diesel berpunca amalan rasuah - SPRM

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Julai, 2013: Isu kekurangan diesel yang banyak dilaporkan kebelakangan ini dipercayai berpunca daripada amalan rasuah dalam kalangan individu tertentu dari syarikat minyak, pemilik stesen minyak, persatuan nelayan serta pihak pengangkutan bahan api itu.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Mohd. Shukri Abdull berkata, pihaknya mengesan kegiatan tersebut hasil operasi yang dilakukan oleh suruhanjaya itu baru-baru ini di empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Pahang.

Beliau berkata, hasil operasi itu, seramai 19 pengusaha stesen minyak serta ahli sindiket ditahan dengan rampasan diesel bernilai RM517,000.

"Soal ketirisan membabitkan penyelewengan diesel bersubsidi dan rasuah ini telah berada dalam 'radar' SPRM sejak 2009 lagi.

"Bagi mengekang daripada berterusan SPRM telah mula menjalankan operasi membabitkan siasatan dan risikan bagi mengatasi isu ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Shukri berkata, berdasarkan statistik, sejak 2009 sehingga Jun lalu, sebanyak 112 kertas siasatan telah dibuka dan seramai 138 orang ditangkap bagi membantu siasatan.

Menurut beliau, antara penyelewengan yang berlaku ialah apabila pemilik stesen minyak mengemukakan laporan palsu bagi mendapat kuota tambahan.

"Kuota diesel bulanan akan dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan secara pukal kepada syarikat minyak mengikut daerah dan negeri.

"Malangnya ada antara pemilik stesen minyak yang mengemukakan laporan palsu bagi mendapat kuota tambahan. Pemilik stesen minyak pula bersekongkol dengan pemandu lori tangki.

"Pemandu lori tangki dibayar wang rasuah supaya membuat penghantaran dan pemindahan diesel ke tempat atau lori tangki yang lain. Bagi mengaburi syarikat minyak, pengesan Sistem Kedudukan Global (GPS) akan dimatikan oleh pemandu lori supaya laluan yang digunakan tidak dikesan," ujarnya.

Menurut Mohd. Shukri, SPRM turut menerima aduan daripada orang ramai terutamanya apabila isu kekurangan bekalan bahan api itu dilaporkan kebelakangan ini.

"Bagaimanapun siasatan yang dilakukan oleh suruhanjaya ini hanya tertumpu kepada isu rasuah sahaja. Tetapi bagi soal ketirisan menyebabkan berlakunya kekurangan ini biarlah pihak berkuasa yang berkenaan menyiasat," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment