My Add

Thursday 1 August 2013

Kerajaan nilai henti hantar pelajar ke Mesir

PUTRAJAYA, RABU, 31 Julai, 2013: Kerajaan sedang menilai untuk menangguhkan serta-merta penghantaran pelajar baharu dari Malaysia ke Mesir sehingga keadaan huru-hara di sana kembali pulih.

Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, penangguhan itu berikutan keadaan semasa yang masih tidak stabil di negara bergolak tersebut akibat rampasan kuasa oleh tentera.

"Kita akan nilai semula sama ada harus hentikan dulu hantar pelajar ke sana terutamanya mereka yang mendapat biasiswa dari kerajaan negeri.

"Kita akan nasihatkan agensi yang lain juga untuk hentikan penghantaran pelajar tersebut hingga satu waktu yang sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama perwakilan asing dan media di Wisma Putra, di sini hari ini.

Menurut Anifah, pihaknya membawa isu tersebut ke peringkat Kabinet untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, Wisma Putra juga menasihatkan semua pelajar di Mesir yang sedang bercuti di Malaysia supaya menangguhkan sementara untuk kembali semula ke Mesir.

Mengulas tentang situasi pelajar Malaysia yang masih di sana beliau berkata, mereka selamat dan tiada keperluan untuk membawa pulang ke Malaysia.

"Setakat ini masih ada 3,385 pelajar dan mereka enggan pulang adalah kerana musim peperiksaan dan keadaan di sana yang masih selamat," katanya.

Ditanya tentang hubungan diplomatik Malaysia dengan Mesir, Anifah berkata, Malaysia mengambil pendirian untuk tidak campur tangan dalam urusan mana-mana negara.

Bagaimanapun katanya, Malaysia menggesa pihak bertelagah di sana supaya berunding demi kebaikan negara.

Sementara itu, katanya, hubungan Malaysia dengan negara yang majoriti rakyatnya mengamalkan ajaran Syiah masih akrab seperti biasa. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment